April 25, 2024

Search
Close this search box.

‘Pakar Rujuk’ Pengurusan Akademik UTM, Hajjah Najmah Bersara

Persaraan Hajjah Najmah Shamsuddin diraikan dalam Majlis Cukup Meriah

Warga pentadbir UTM tidak boleh dipersalahkan andainya menangisi persaraan Hajjah Najmah Shamsuddin. Mana tidaknya, setelah sekian lama menjadi ‘pakar rujuk’ terutamanya bagi hal dan urusan berkaitan pengurusan akademik dan majlis utama seperti konvokesyen, tiada lagi kelibat beliau selepas ini memimpin pasukan besar setelah bersara wajib.

Persaraan Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Hajjah Najmah binti Shamsuddin disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada Universiti Teknologi Malaysia. Beliau mula bersara wajib pada 1 Jun 2019 setelah menabur bakti selama hampir 37 tahun.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata persaraan ini pasti akan dirasai warga UTM berikutan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Hajjah Najmah dalam pentadbiran pengurusan akademik khasnya sudah sebati dengan setiap aktiviti utama dan rasmi universiti.

“Saya percaya ramai warga UTM terutama yang pernah berkhidmat di bawah seliaan Hajjah Najmah akan merindui keperibadian beliau yang begitu teliti, komited dan sentiasa turun padang berada di lapangan bersama pasukannya ketika menjalankan tugas,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian dalam sesi Sesi Clock-Out dan Lambaian Perpisahan sempena persaraan Hajjah Najmah Shamsuddin yang berlangsung dengan kehadiran hampir 100 orang staf UTM di Ruang Legar Bangunan Canselelri Sultan Ibrahim baru-baru ini.

Hajjah Najmah (tengah) sedang mengunci masuk nombor pekerja untuk ‘slide out’ terakhir beliau sebagai simbolik hari terakhir berkhidmat sebagai staf UTM sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar (kiri)

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Ir. Dr. Zainuddin Abd. Manan pula berpendapat kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas Hajjah Najmah menyerlahkan aura kepemimpinan beliau, sekali gus membolehkan Key Amal Indicator (KAI) jabatan di bawah pimpinannya berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

Bagi Pengerusi Bahagian Pemajuan, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Mohd Zaki Kamsah pula, Hajjah Najmah merupakan seorang pentadbir yang wajar dijadikan contoh yang bukan sahaja menjadi ‘pakar rujuk’ di UTM malah juga di Kementerian Pendidikan terutamanya perkara yang melibatkan peraturan dan program-program akademik.

“Beliau juga merupakan salah seorang tonggak utama dalam pelaksanaan transformasi UTM serta sering menjadi penyelesai masalah dalam hal ehwal pengurusan akademik,” katanya lagi.

Majlis turut dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi UTM

Sementara itu, Hajjah Najmah mengucapkan jutaan terima kasih kepada UTM dan semua serta menyifatkan terlalu banyak kenangan manis sepanjang berkhidmat di universiti ini.

Hajjah Najmah dilahirkan pada 1 Jun 1959 di Padang Rengas, Perak dan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Pengajian Asia Tenggara) dari  Universiti Malaya pada 1982 sebelum melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Teknologi (Teknologi) di Universiti Teknologi Malaysia pada 1997.

Beliau menyertai UTM pada 2 Ogos 1982 sebagai Pegawai Tadbir di Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM Kampus Kuala Lumpur dan Pengalaman pentadbiran selama 7 tahun di HEP memberi impak mendalam terutama  hubungan dengan pelajar yang merupakan pelanggan utama UTM.

Antara usaha dan sumbangan utama beliau ketika itu ialah mewujudkan tabung dana kewangan bagi membantu pelajar yang memerlukan.

Sebelum bertugas di Pejabat TNC (A&A) beliau pernah bertugas di beberapa jabatan lain seperti Fakulti Sains Komputer & Sistem Maklumat (sekarang Fakulti Komputeran), Unit Kemasukan & Rekod dan Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar.

Antara tugasan berprofil tinggi paling terkini dikendalikan beliau termasuklah sebagai Pengerusi Pilihan Raya Kampus 2018/2019 di mana ketika itu pilihan raya kampus buat pertama kalinya dikendalikan oleh sebuah badan bebas dan bukannya Pejabat Hal Ehwal pelajar yang selama ini menjadi urusetia.

Atas kecemerlangan dan sumbangan besar beliau dalam perkhidmatan, beliau dianugerahkan 2 pingat iaitu Kesatria Mangku Negara (K.M.N.) pada tahun 2010 dan juga Ahli Mahkota Perak (A. M. P.) juga pada 2010.

Selain itu beliau juga merupakan penerima anugerah berprestij Anugerah Pentadbir UTM pada 2013 di samping deretan anugerah kecemerlangan lain.

semua tetamu mengabadikan kenangan bersama Hajjah Najmah

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli LPU yang juga Pengerusi Majlis Profesor UTM, Prof. Dr. Omar Yaakob, Pendaftar, Abd Razib Hj. Shahuddin, Bendahari, Ketua Pustakawan, Dekan-dekan, Pengarah, pegawai-pegawai UTM serta staf yang pernah bertugas bersama beliau.

Lambaian terakhir

Explore More