April 26, 2024

Search
Close this search box.

Kolaborasi KTF bersama UNIMAS dan Agensi Luar Laksana Pelbagai Aktiviti Bersama Penduduk

Projek Botani bersama penduduk Kampung Nanas, Simunjan Sarawak

KOTA SAMARAHAN, 22 Mei  — Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Tun Fatimah, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Sesi 2018/2019 dengan kerjasama Kelab Ekuin UTM, Kelab Sukarelawan KTF dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej Cempaka, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menganjurkan program The Tour: Malaya X Borneo X Jelajah Srikandi 3.0 baru-baru ini di Kampung Nanas, Simunjan.

Program yang mendapat kerjasama JKKK Kampung Nanas, Simunjan, Majlis Daerah Simunjan dan beberapa agensi kerajaan dan bukan kerajaan ini berjaya membentuk gandingan mantap dalam usaha untuk mencurah bakti kepada masyarakat di sana.

Pelajar Kolej Tun Fatimah Universiti Teknologi Malaysia dan pelajar Kolej Cempaka Universiti Malaysia Sarawak bersama penduduk Kampung Nanas, Simunjan membuat bubur lambuk di Surau Darul Salihin Kampung Nanas,Simunjan

Program Jelajah Srikandi 3.0 merupakan acara tahunan Jawatankuasa Kolej Kediaman Tun Fatimah.

Program selama 6 hari 5 malam ini diarahkan oleh Maizatul Asheeda Binti Mohamed, pelajar Fakulti Sains dan juga salah seorang ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa Kolej Tun Fatimah.  Sembilan aktiviti utama telah dilaksanakan antaranya Penjagaan Kebersihan Gigi – Clean Them Right, Oh My English! Class, Lukisan Mural di Tabika Kemas C, Hiking/Plogging di Gunung Ngeli, Jelajah Sihat, Love Yourself, Take Care of Your Hygiene Session, Projek Botani, Gotong-Royong serta Majlis Kesyukuran bersama penduduk kampung dan diakhiri dengan majlis penutupan program.

Program ini yang berkonsepkan servis kepada komuniti bertujuan untuk meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi, memupuk semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa dan mahasiswi UTM dan UNIMAS sekaligus mendedahkan budaya masyarakat Melayu Sarawak kepada umum.

Dalam masa yang sama, program ini juga mampu meningkatkan kemahiran pengurusan aktiviti yang baik.

Delegasi UTM diketuai sendiri oleh Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr. Noor Mala Ibrahim yang juga mengendalikan aktiviti ‘Oh My English!’ yang berlangsung di Dewan Mesra Simunjan bersama kakitangan kerajaan, ibu bapa dan Ahli Jawatankuasa kampung.

Majlis penutupan program bertempat di Dewan Mesra, Kampung Nanas, Simunjan berlangsung pada hari terakhir program iaitu pada 30 Mac 2019.

Majlis penutupan bersama VIP Jemputan, Encik Bojeng bin Ali, timbalan pengerusi PBB N25 Simunjan

Antara jemputan yang hadir adalah wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N25 daerah Simunjan, Encik Bojeng Bin Ali, Wakil Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Encik Oldrige Ak Ripat Eric, Pegawai Tadbir Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UNIMAS, Pn. Dayang Zuliana Binti Abang Abdul Rahman, Ketua Kaum Kg. Nanas Hilir/Tengah dan Hulu dan wakil daripada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan lain

Presiden JKM KTF, Siti Shamila Mohd Ramlee pula berkata Program Jelajah Srikandi 3.0 telah berjaya diadakan seperti yang dirancang dengan kerjasama erat semua ahli jawatankuasa program.

“Diharap agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

 

Explore More