Mei 9, 2024

Search
Close this search box.

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

Mahasiswa dan mahasiswi Kelab Pembangunan Sumber Manusia (SMART) di bawah Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan telah menganjurkan Hari Keluarga SHARPS pada 1 Mei 2019 bertempat di Padang Kolej 9, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Program ini disertai seramai 122 orang mahasiswa dan mahasiswi Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia (SHAR) dari Tahun 1 hingga 3 serta pensyarah-pensyarah SHARPS dan diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi keakraban dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah-pensyarah.

Program ini dirasmikan oleh Pengerusi SHARPS iaitu Prof Madya Dr. Siti Aisyah binti Panatik @ Abdul Rahman.

Antara intipati menarik dalam ucapan beliau adalah seruan agar mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah-pensyarah saling berganding bahu, merapatkan hubungan untuk bersama-sama mengepalai pelbagai usaha memartabatkan kecemerlangan sekolah, fakulti dan universiti.

Menurut beliau, hubungan baik antara mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah-pensyarah mampu menjadi pemudahcara kepada pelaksanaan visi dan misi sekolah, fakulti dan universiti ke arah kecemerlangan.

Beliau juga menggalakan program seumpama Hari Keluarga ini terus dilaksanakan lagi pada masa hadapan kerana impak positif yang dapat diraih oleh semua.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan adalah seperti pertandingan antara kumpulan, yang melibatkan permainan-permainan seperti boling kelapa, kerusi musik, dari mata ke mulut, baldi ke baldi, tarik tali dan banyak lagi.

Selain mengeratkan keakraban, aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga memperteguhkan lagi kemahiran insaniah seperti kerja berpasukan di samping merangsang kecergasan fizikal.

Program diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah, sesi bergambar beramai-ramai dan kudapan ringkas.

Sesungguhnya, program seumpama ini pastinya telah meninggalkan kenangan manis buat mahasiswa dan mahasiswi serta pensyarah-pensyarah.

#ILOVEUTM

 

Permainan tarik tali adalah antara aktiviti menarik yang dijalankan.

Explore More