Disember 26, 2024

Setahun Pencapaian KPM: UTM Bergerak Seiring Usaha Murni Kerajaan Dalam Memacu Pendidikan Tinggi

Disunting oleh : Prof Madya Dr. Hadina binti Habil dan Dr. Mohd Bakri bin Bakar

9 Mei 2019 yang lalu mencatatkan tempoh setahun peralihan kerajaan baharu selepas dominasi pemerintahan selama 60 tahun di bawah kerajaan yang berbeza. Antara perubahan awal yang dilaksanakan dalam tadbir urus sektor pendidikan negara adalah dengan menggabungkan kembali dua kementerian; Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi satu kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Kini, KPM diterajui oleh YB Dr. Maszlee Malik selaku Menteri manakala, Jabatan Pendidikan Tinggi diwujudkan bagi pengkhususan tadbir urus pendidikan tinggi.

Dalam konteks ini, mana-mana perubahan yang berlaku harus bertujuan mencapai matlamat penambahbaikan sistem dan proses pendidikan negara yang berterusan. Tambahan pula, Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 telah sedia ada sebagai rujukan dalam memandu usaha memartabatkan pendidikan tinggi negara.

Yang terbaharu, YB Dr. Maszlee Malik telah menggariskan 9 Teras Pencapaian Setahun KPM. Teras-teras tersebut ialah; 1) Manfaat Untuk Warga Berpendapatan Rendah (B40), 2) Guru Sebagai Fokus Utama, 3) Murid Sebagai Tonggak, 4) Komitmen Tangani Isu Sekolah Daif, 5) Perhatian Penuh Kepada Orang Kurang Upaya, 6) Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi 7) Peningkatan Kerjasama Dalam Pendidikan Tinggi, 8) Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), dan 9) Pemerkasaan Bahasa, Budaya dan Sastera.

REFORMASI PENDIDIKAN: INKLUSIF DAN BERKUALITI

Secara keseluruhannya, 9 teras yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jelas mengambil kira nilai-nilai kepelbagaian dan keterangkuman pendidikan yang berteraskan kemanusiaan. Ini bertepatan dengan aspirasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mensasarkan tahun 2019 sebagai tahun untuk memacu kegemilangan pendidikan tinggi berpaksikan kemanusiaan (Buku Perutusan Datuk Naib Canselor UTM, 2019). UTM juga secara berterusan menyediakan akses kepada pendidikan yang berkualiti melalui pelbagai inisiatif berpandukan Pelan Global Universiti Fasa I hingga III 2012-2020.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr Wahid bin Omar semasa Majlis Perutusan Tahun Baharu 2019

Selain itu, pelan strategik ini juga menjajarkan penyelidikan dan perkhidmatan Universiti dengan matlamat membangunkan kesejahteraan masyarakat. Semua perkara ini adalah selaras dengan Amanat Menteri Pendidikan Malaysia 2019 yang menfokuskan ‘universiti untuk masyarakat’.

Dalam teras 1) Manfaat Untuk Warga Berpendapatan Rendah (B40), KPM telah menggariskan beberapa langkah untuk memastikan warga B40 ini tidak tercicir daripada pendidikan. Antaranya ialah dengan menyediakan laluan khas ke universiti awam di mana sebanyak 23,895 tempat telah disediakan bagi sesi pengajian 2018/2019. Selain itu, tawaran biasiswa dan bantuan kewangan telah diperuntukkan sebanyak RM68.1 juta dengan lebih 17,100 pelajar mendapat manfaat.

UTM menyambut baik langkah ini kerana di UTM sendiri terdapat lebih 5,000 pelajar adalah tergolong dalam warga B40. Bagi memastikan kesejahteraan mereka di kampus, UTM turut melaksanakan pelbagai program kebajikan seperti penubuhan Tabung Biasiswa Endowmen yang mana antara sumber kewangannya adalah daripada sumbangan warga UTM, Suspended Meals dengan konsep penajaan makanan yang telah dibayar oleh penderma serta Because We Care Chancellor’s Fund, iaitu bermatlamat untuk membantu pelajar yang memerlukan bantuan makanan.

Selain itu penubuhan Food Bank Siswa UTM turut membantu meringankan beban pelajar.

Bagi teras kedua iaitu Guru Sebagai Fokus Utama, dinyatakan sebanyak 30% beban guru telah dimansuhkan. UTM melihat inisiatif ini akan lebih bermakna sekiranya dipanjangkan ke peringkat pendidikan tinggi. Ini kerana pensyarah universiti juga turut memikul tugas sepertimana guru dalam mendidik anak bangsa, malah dalam konteks yang lebih luas dan mempunyai cabaran tersendiri.

Pengurangan beban tugas-tugas seperti urusan teknikal membolehkan keutamaan diberikan kepada proses pembelajaran dan pengajaran.
Justeru, sewajarnya teras ini tidak hanya menumpukan kepada guru di peringkat sekolah malah melibatkan pendidik secara keseluruhan termasuk di Institusi Pengajian Tinggi.

Melihat ke hadapan, keseimbangan inisiatif ini yang merentas sektor pendidikan akan memperkayakan proses pemindahan pengetahuan melibatkan kepakaran pensyarah kepada guru dalam usaha bersama meningkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. Sinergi sebegini juga dapat mendekatkan jurang sektor pendidikan pada setiap peringkat secara semulajadi.

Dalam teras kelima, KPM menggariskan Perhatian Penuh Kepada Orang Kurang Upaya (OKU) melalui aktiviti kerjasama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Laluan Kemasukan Khas ke Universiti Awam disediakan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) di setiap universiti.

UTM menyokong penuh inisiatif ini kerana mereka berhak mendapat kesaksamaan pendidikan seperti pelajar yang lain. Dalam hal ini, UTM turut memberikan penekanan kepada kecemerlangan pelajar dengan mengambilkira kelayakan akademik tertentu sebagai syarat asas kemasukan. Mengikut rekod, seramai 16 pelajar OKU UTM telah berjaya bergraduasi dalam tempoh tujuh tahun terbaharu (2011-2018) dan kini bekerja dengan cemerlang dalam sektor masing-masing. Ini membuktikan UTM turut mengutamakan kebajikan pelajar OKU dalam mendapatkan sokongan pendidikan yang khas selaras dengan aspirasi universiti mesra OKU.

Salah seorang graduan PhD dari golongan orang kelainan upaya (OKU), Dr. Ruzimi Mohamed semasa majlis konvokesyen beliau

Malah penubuhan Little Genius di UTM sebagai sebuah pusat terapi kepada kanak-kanak berkeperluan khas juga merupakan sebahagian komitmen UTM dalam membangunkan pendidikan OKU yang berkualiti bermula daripada usia awal pendidikan.

UTM turut menyokong aspirasi teras keenam KPM iaitu Kewibawaan Institusi Pendidikan Tinggi melalui pindaan AUKU, di mana pelajar di semua Universiti Awam diberikan mandat untuk mengendalikan pilihan raya kampus (PRK) sendiri; selain penetapan 5 Oktober setiap tahun sebagai Hari Akademia dan peningkatan geran penyelidikan di universiti awam.

Pendekatan melalui teras ini merupakan satu langkah yang amat bermakna bagi UTM kerana ia bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan, malah turut membangunkan potensi pelajar sebagai pemimpin masa hadapan negara. Dalam hal ini, UTM turut terlibat menyumbangkan kepakaran dalam jawatankuasa kajian relevensi dan keberkesanan pelaksanaan AUKU. Di UTM juga, Pilihanraya Kampus 2018 telah dijalankan sendiri oleh pelajar tanpa penglibatan pihak pengurusan universiti.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM455.35 juta bagi tujuan dana penyelidikan pada tahun 2019 adalah amat dialu-alukan kerana akan membantu UTM dalam memperhebat aktiviti penyelidikan agar dapat dikongsi dengan komuniti dan masyarakat. Ia selaras dengan salah satu Bidang Tumpuan Utama di bawah Pelan Global Universiti iaitu Kecemerlangan dalam Penyelidikan serta Libatsama Industri dan Komuniti. Untuk perkara ini, UTM telah menggariskan sasaran sumbangan cemerlang kepada masyarakat melalui projek komuniti berimpak tinggi sebanyak 70 projek setahun.

Teras ketujuh adalah Peningkatan Kerjasama Dalam Pendidikan Tinggi, inisiatif Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi, iaitu usaha untuk membawa universiti tempatan ke persada dunia dan membawa universiti antarabangsa ke negara ini telah dimulakan. Antara negara yang telah dilibatkan secara mendalam ialah United Kingdom, Jepun, Jordan, Perancis, Cina, Maghribi, Indonesia, UAE dan Qatar.

Pendidikan Transnasional

UTM mendukung aspirasi ini dengan memperkasakan Pendidikan Transnasional iaitu pendidikan merentasi batas negara dan sempadan untuk memacu pendidikan Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Inisiatif ini menumpukan kerjasama global melalui penawaran program akademik UTM menembusi pasaran antarabangsa dengan pelbagai mod yang fleksibel seperti penyeliaan jarak jauh, pembelajaran terbuka dan jarak jauh, program francais serta pembukaan kampus cawangan antarabangsa. Dengan itu, UTM dapat memimpin aspirasi negara untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia.

HALA TUJU PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA

Hala tuju pendidikan tinggi Malaysia 2018-2023 seperti yang diumumkan oleh YB Dr Maszlee Malik memberi penekanan kepada 3 ciri penting di dalam pendidikan iaitu: 1) pendidikan berteraskan nilai; 2) autonomi & kebertanggungjawaban; 3) ketinggian kualiti. Ciri tersebut dilihat dapat memperkasakan pendidikan tinggi negara.

UTM sentiasa peka dengan kepentingan ciri tersebut dan telah pun memberi penekanan kepada ketiga-tiga aspek tersebut. Pelbagai inisiatif telah dimulakan yang mengambil kira ketiga-tiga ciri berkenaan.

1)Pendidikan berteraskan nilai

Untuk memastikan komuniti UTM mengamalkan nilai-nilai yang murni dalam urusan seharian, universiti telah memperkenalkan 4 nilai utama (core values) yang menjadi panduan iaitu Integrity, synergy, sustainability, excellence. Melalui keempat-empat nilai utama ini, kecemerlangan warga UTM disepadukan bersama nilai kemanusiaan yang tinggi.

2)Autonomi & kebertanggungjawaban

Keperluan untuk membuat keputusan secara kontekstual dan transparensi serta bertanggungjawab amatlah dituntut oleh pihak pengurusan UTM untuk diamalkan oleh semua komuniti UTM. Budaya kerja ini sentiasa diingatkan di dalam perjumpaan bulanan Naib Canselor bersama staf, dan juga di dalam semua mesyuarat eksekutif. Setiap pusat tanggungjawab juga diberikan autonomi dalam tadbir urus tertentu sebagai memenuhi tujuan pemberdayaan empowerment dalam pengurusan yang berkesan.

3)Ketinggian kualiti

Ketinggian kualiti ini sentiasa dikaitkan dengan kecemerlangan dan keberkesanan. UTM sentiasa menekankan keperluan untuk menjadi cemerlang dalam setiap urusan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan universiti. Secara khusus, UTM turut mensasarkan ketinggian kualiti dalam pembelajaran dan pengajaran yang menjadi salah satu Desired State 2020.

UTM berpandangan sebuah institusi universiti mestilah kekal berpaksikan budaya dan nilai keilmuan. Seterusnya, pengkayaan nilai-nilai lain universiti harus bertujuan memberikan manfaat terhadap kesejahteraan dan kemakmuran sama ada mencakupi aspek politik, sosial mahupun ekonomi negara. UTM akan terus menyokong proses transformasi dan reformasi yang dilaksanakan oleh KPM dan sedia memimpin perubahan bagi memartabatkan pendidikan tinggi negara.

Explore More