April 27, 2024

Search
Close this search box.

SELAM 19 Anjuran Sekolah Pendidikan UTM Aplikasikan Metodologi Service Learning Sebenar Dalam Pembelajaran Berasaskan Komuniti

PULAU TIOMAN, 9 Mei — Seramai 99 orang mahasiswa tahun 4, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), UTM melestarikan komuniti Kampung Tekek melalui program Smart Exploration Through Learning and Appreciating our Beautiful Malaysia (SELAM 19) menggunakan pendekatan Service Learning (SL) pada 27 hingga 30 April lalu di sini.

SL merupakan sebuah pendekatan pendidikan yang menggabungkan objektif pembelajaran dengan khidmat masyarakat untuk menyediakan pengalaman belajar pragmatik dan progresif semasa memenuhi keperluan masyarakat.

Mahasiswa daripada program Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kejuruteraan Mekanikal), Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Kemahiran Hidup) dan Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan (Sains Sukan) bersama tiga pensyarah pembimbing mengadakan program tersebut yang dilaksanakan dan diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa.

Bertemakan ‘Kelestarian, Pembelajaran dan Teknologi’, antara aktviti yang berimpak tinggi yang telah dijalankan ialah Projek Pelestarian Pulau Tioman, iaitu penghasilan ‘Coral Pots’ menggunakan bahan kitar semula untuk tujuan pembiakan coral di dasar laut, Karnival Sukan, Karnival Suka Belajar berasaskan konsep 3R pintar serta aktiviti berkaitan pembinaan watak guru milenia.

Menggunakan pendekatan SL sepenuhnya, program ini bertujuan membina jiwa keinsanan guru sebagai bakal pendidik kelahiran UTM sekaligus bertujuan menerapkan perasaan mencintai alam sekitar, pendidikan terhadap penjagaan alam sekitar dan sekaligus mempromosikan nilai etika dan estetika ke dalam diri semua yang terlibat iaitu mahasiswa, pelajar sekolah, orang ramai dan pelancong.

Program tersebut merupakan hasil berkolaborasi bersama dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Lembaga Pembangunan Tioman dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek.

Manakala syarikat NOY Interior Design dan Liew Trading juga turut menyumbang sebagai pemudahcara dan penaja di sepanjang program berlangsung.

NGO yang turut bersama pula ialah Reef Check Malaysia (RCM) dan Rumah Hijau Tioman yang telah membantu dalam penghasilan ‘Coral Pots’.

Menurut  Pensyarah Kanan, Sekolah Pendidikan UTM, Shahrin Hashim, program ini merupakan satu projek pembelajaran berasaskan komuniti (CBL) untuk kursus Bina Insan Guru yang lokasinya dipilih oleh pelajar sendiri sebagai hub pelaksanaan projek komuniti mereka dan diadakan bagi memenuhi kehendak Kurikulum kursus Bina Insan Guru, Sekolah Pendidikan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Haji Yahaya.

Program ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Datuk Seri Dr. Mohd Azhar bin Haji Yahaya.

Datuk Seri Dr Mohd Azhar dalam ucapan perasmiannya melahirkan perasaan bangga terhadap penganjuran program SELAM 19.

“Kita sangat menggalakkan usaha yang dilakukan oleh mahasiswa yang boleh berperanan sebagai agen pendidik masyarakat dalam agenda pelestarian alam sekitar dan program ini amat bertepatan dengan inisiatif Kelestarian Kehidupan Manusia sejagat,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Kanan Bahagian Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan Malaysia, Tuan Haji Ab. Rahim bin Gor Yaman, Ketua Kampung Tekek, wakil dari UTM, wakil syarikat, dan NGO yang terlibat serta orang ramai dan pelancong.

Pembuatan ‘Coral Pots’ untuk Kelestarian Pulau Tioman

Sementara itu, satu demonstrasi, pendidikan serta pembuatan ‘Coral Pots’ menggunakan barangan kitar semula iaitu botol kaca terpakai telah diadakan bersama NGO Reef Check Malaysia (RCM) dan Rumah Hijau Tioman.

Projek ini adalah bertujuan untuk membantu meningkatkan kehidupan akuatik di Pulau Tioman dengan menggunakan sentuhan teknologi mudah iaitu menghancurkan botol kaca dalam mesin penghancur khas untuk menukarkannya kepada menjadi pasir silika dan dimasukkan pula ke dalam konkrit simen.

Coral pots ini dijadikan tukun tiruan dan diletakkan di dasar laut untuk menjadi tarikan utama kepada sebahagian besar spesies ikan dan menjadi habitat pelbagai jenis tumbuhan karang dan hidupan marin lainnya.

Pengumpulan botol kaca terpakai untuk membuat coral pots

Program Menarik Bagi Penduduk Setempat 

Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan oleh orang ramai apabila program Karnival Sukan  iaitu pertandingan bola tampar pantai dan sepak takraw yang diadakan secara meriahnya telah disertai oleh pasukan dari beberapa buah kampung di Pulau Tioman.

 

Selain itu program turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran pendidikan dan inovasi Sekolah Pendidikan, di mana sebanyak empat stesen pameran yang sarat dengan informasi berguna disediakan kepada para pelawat.

Pameran ini juga diadakan bagi memperkenal dan mendekatkan UTM kepada warga penduduk Kampung Tekek serta pelancong yang turut hadir.

Program ini juga telah membawa bersama projek estetika di Sekolah Menengah Kebangsaan Tekek di mana mahasiswa memberikan sentuhan suasasa pembelajaran abad ke-21 kepada ruang tertentu di sekolah tersebut sebagai usaha meningkatkan semangat suka belajar dalam kalangan pelajar melalui suasana kondusif ruang belajar.

 

Program estetika ini telah menambahkan keselesaan, keindahan serta suasana kondusif tempat tumpuan dan kepentingan awam.

Tidak ketinggalan juga projek keceriaan dan keindahan Masjid Kg Tekek juga mendapat perhatian untuk dilaksanakan bersempena kedatangan bulan Ramadhan di mana keceriaan masjid dibugarkan bersama komuniti setempat serta pelancong.

Karnival Suka Belajar

Sementara itu di SMK Tekek pula telah diadakan satu program Karnival Suka Belajar yang telah menjadi sinonim dengan usaha Sekolah Pendidikan kepada Komuniti Sekolah.

Karnival Suka Belajar ini telah membawa bersama pelbagai aktiviti menarik yang di jalankan oleh mahasiswa iaitu Kempen Hobi sebagai Kerjaya, Inspirasi Jaya Belajar, Kelab Suka Belajar, Inovasi Kreatif dan Motivasi Belajar serta pameran inovasi dan kecemerlangan prestasi oleh mahasiswa.

Menurut Shahrin, program ini diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran berkaitan mendidik orang ramai terhadap gaya hidup sihat, pendidikan ke arah kepentingan penjagaan alam sekitar di samping meningkatkan lagi perasaan cintakan alam sekitar secara pintar dan memanfaatkan teknologi.

“Kita juga berharap program ini akan membantu memberi maklumat tentang nilai etika dan estetika yang dilaksanakan secara bersama dalam hubungan manusia dengan ketuhanan, dengan manusia sesama sendiri dan alam sekitar.

Jalinan kerjasama yang wujud diharap dapat meningkatkan kolaborasi strategik antara universiti, agensi dan jabatan kerajaan, masyarakat, pihak industri dan NGO sekali gus memberi nilai tambah kepada pembelajaran mahasiswa UTM menerusi pendekatan SL yang telah diterajui oleh Sekolah Pendidikan, FSSK sejak 2008 lagi,” katanya.

Sekolah Pendidikan, FSSH memang berada pada kedudukan yang tersendiri dalam pelaksanaan SL di UTM khususnya dalam menterjemahkan Inovasi Pembelajaran Akademia Baru dan di Universiti Awam umumnya sebagai contoh ikutan terbaik dan telah sekian lama menjadi peneraju SL.

“Pada masa hadapan kita bercadang untuk menubuhkan satu kumpulan pejuang SL yang dikenali sebagai “UTM SOE SERVICE LEARNING WARRIOR dalam misi untuk melahirkan bakal pendidik yang mempunyai sifat seorang patriot,” tambahnya lagi.

Explore More