KUALA LUMPUR, 3 Mei — Sebuah majlis perbincangan rancangan kerjasama antara Sekolah Vokasi, Universitas Diponegoro (SV-UNDIP), Semarang, Jawa Tengah dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertempat di UTM kampus Kuala Lumpur pada 24 April 2019 lalu.

Majlis ini merupakan inisiatif di bawah Kumpulan Penyelidikan Royal Belum-Temenggor FTIR untuk memperluas jaringan kerjasama antarabangsa (international networking) yang meliputi penerokaan dan pengembangan peluang-peluang baharu bagi program akademik dan penyelidikan di antara kedua-dua buah institusi.

Delegasi SV-UNDIP telah diketuai oleh Dekan, Prof. Dr. Ir. Budiyono dengan diiringi seramai enam anggota yang terdiri daripada wakil Dekan Akademik, Dr. Ida Ayu, wakil Dekan Sumberdaya dan Inovasi, Dr. Agus Purwanto, wakil khas Universiti, Dr. Joesron Alie Syahbana, Ketua Jabatan Kejuruteraan Awam, Asri Nurdiana, Ketua Jabatan Senibina, Sukawi dan Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, Khristiana Dwi Astuti.

Majlis dan perbincangan telah dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Khairur Rijal Jamaludin yang mewakili Dekan FTIR, dan dihadiri oleh Dr. Khairul Hisyam Kamarudin selaku penganjur dan Ketua RG Royal Belum, barisan pentadbiran fakulti, wakil-wakil program akademik dan penyelidikan fakulti.

Foto berkumpulan anggota delegasi Sekolah Vokasi, Universitas Diponegoro (UNDIP) Semarang bersama-sama wakil Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTM Kuala Lumpur

Antara fokus utama perbincangan adalah untuk mewujudkan rancangan kerjasama lebih formal di antara SV-UNDIP dan FTIR dengan menyediakan dokumen Suratcara Kerjasama (Letter of Cooperation, LoC).

Selain itu, mesyuarat juga turut membentangkan program-program akademik yang dilaksanakan oleh kedua-dua institusi demi mencari peluang dan kesesuaian beberapa program akademik tertentu, yang mana pelajar lepasan ijazah daripada SV-UNDIP akan dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat Sarjana Sains (MSc) di Universiti Teknologi Malaysia amnya, dan FTIR khususnya.

Beberapa program akademik diperingkat Sarjana Sains yang dikenal pasti berpotensi bagi kolaborasi masa hadapan termasuklah program Sarjana Sains Rekabentuk Bandar Lestari (MSc in Sustainable Urban Design), Sarjana Sains Infrastruktur Lestari (MSc in Sustainable Infrastructure), Sarjana Sains Pengurusan Kejuruteraan (MSc in Engineering Management), Sarjana Sains Pengurusan Risiko Bencana (MSc in Disaster Risk Management – dengan kerjasama MJIIT, UTMKL), Sarjana Sains Pengurusan Perniagaan Kejuruteraan (MSc in Engineering Business Management) dan beberapa program lagi yang berkaitan.

Mesyuarat juga turut membentangkan peluang bagi FTIR melaksanakan program penyeliaan jarak jauh (remote supervision) melibatkan kumpulan besar pensyarah SV-UNDIP yang telah memiliki kelayakan sarjana dan ingin melanjutkan pelajaran mereka di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dengan mendaftar sebagai penuntut UTM, namun diselia secara jarak jauh oleh para pensyarah yang dipilih daripada UTM.

Untuk  mencapai hasrat tersebut itu, pihak SV-UNDIP akan mengenal pasti para pensyarah yang akan melanjutkan pelajaran berserta cadangan tajuk penyelidikan untuk dipadankan dengan kepakaran yang terdapat di fakulti.

Penyampaian cenderamata oleh Dekan Sekolah Vokasi UNDIP kepada wakil dekan FTIR, Prof. Madya Dr. Khairur Rijal Jamaludin setelah selesai sesi mesyuarat

 

Pada akhir mesyuarat juga, kedua-dua belah pihak turut bersetuju supaya dapat diadakan satu kunjungan balas bagi tujuan promosi dan pemasaran program-program akademik FTIR kepada kelompok mahasiswa semester akhir di SV-UNDIP.

Lawatan balas ini juga bertujuan meningkatkan peluang fakulti menambah bilangan pelajar khususnya pelajar antarabangsa bagi program-program yang dinyatakan. Rancangan kunjungan balas ke UNDIP dijangka akan dibuat sekitar bulan Julai 2019.

Secara keseluruhannya, rancangan kerjasama diantara SV-UNDIP dan FTIR telah berlangsung dengan harmoni dengan kedua-dua belah pihak berupaya mengenal pasti kelebihan dan kekuatan masing-masing baik dibidang akademik mahupun penyelidikan, yang boleh dimanfaatkan bagi memperkukuhkan lagi usaha kolaborasi pada masa hadapan.

 

Disediakan oleh:

Dr. Khairul Hisyam Kamarudin

Ketua Kumpulan Penyelidikan Royal Belum-Temenggor, FTIR