Disember 22, 2024

Pulau Pinang, 18 Apr. — Produk inovasi pelajar tahun akhir Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina & Ukur, Amirul Afiq Jamaluddin telah berjaya merangkul Anugerah Gangsa dalam pertandingan inovasi, i-InTeLEC 2019 (International Innovation in Teaching and Learning & Language Education Conference) yang berlangsung di Tanjung Bungah, di sini.

Kemenangan ini membuktikan produk inovasi pelajar UTM diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Produk inovasi yang bertajuk Floristic: Mobile Augmented Reality Application for Plant Species Identification , berentap hebat bersama 77 produk inovasi lain yang datang daripada pelbagai universiti awam dan swasta, politeknik dan sekolah di seluruh Malaysia dan juga antarabangsa.

Turut serta dalam kumpulan inovasi ini juga adalah Gs. Dr. Noradila Rusli dan Prof. Dr. Mohammad Rafee Majid.

Floristic merupakan aplikasi mudah alih yang mengintegrasikan teknologi Augmented Reality (AR) dalam proses mengenal pasti speseis tumbuhan bagi proses pembelajaran dengan lebih interaktif dan menyeronokkan.

Teknologi AR juga menggalakkan proses pembelajaran dan pemahaman yang lebih baik.

Disamping itu, penghasilan inovasi Floristic juga menyokong inisiatif Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Edutourism Campus dengan memberikan platform yang menarik bagi pengguna untuk mempelajari secara asas mengenai spesies tumbuhan-tumbuhan yang terdapat di UTM.

Usaha membangunkan aplikasi Floristic ini perlu diteruskan kerana ia turut melibatkan proses merekodkan kepelbagaian spesies tumbuhan dan haiwan yang kaya dalam persekitaran UTM dengan berbantukan teknologi GPS (Global Positioning System) dan GIS (Geographic Information System). 

Aplikasi Floristic berupaya untuk  diperluas kepada agensi atau syarikat yang berminat, bagi aplikasi yang berkaitan seperti tujuan pengurusan aset atau bertujuan meningkatkan visualisasi, dengan menggabungkan teknologi AR dan GIS.

Ia adalah medium yang sangat baik untuk menggambarkan idea yang kompleks dengan kos yang sangat minimum.

Explore More