Disember 27, 2024

JOHOR BAHRU, 29 Apr. —  Seramai 31 orang dari Mahasarakham Business School (MSB), Mahasarakham University (MSU), Thailand telah mengadakan lawatan ke Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM pada 28 April 2019 yang lalu.

Delegasi tersebut dalam rangka lawatan ke sekitar Johor Bahru dan Singapura telah memilih kampus UTM Johor Bahru untuk melawat persekitaran universiti.

Delegasi MSU diketuai oleh Dr. Nitiphong Songsrirote, Dekan MSB MSU yang turut disertai oleh Prof. Madya. Dr. Pronlapas Suwannarat, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengantarabangsaan) MSB MSU, Dr. Pongsatrorn Tantrabundit, Director of Physical and Environmental Development Office MSB MSU, Achariya Issarapaibool, Director of Academic Sevice Center MSB MSU, 5 orang pensyarah dan 22 orang mahasiswa ijazah sarjana muda MSB MSU.

Delegasi telah disambut oleh Dr. Noor Aimran Samsudin pensyarah kanan program Perancangan Bandar dan Wilayah UTM dan dibantu wakil pelajar dari Persatuan Perancangan Bandar dan Wilayah UTM (PEWIBAWA).

Para peserta telah dibawa melawat melihat kemudahan di sekitar fakulti dan kawasan pusat pentadbiran UTM utama yang merangkumi Bangunan Canselori Sultan Ibrahim (BCSI), Masjid Sultan Ismail (MSI), Dewan Sultan Iskandar (DSI) dan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ).

Di DSI, delegasi berpeluang melihat para petugas membuat persiapan terakhir di dewan sempena penganjuran Majlis Konvokesyen UTM kali ke-62 pada 29 hingga 30 April 2019.

Delegasi telah diberikan taklimat ringkas mengenai sejarah dan latar belakang perjalanan majlis tersebut.

Taklimat mengenai sejarah penubuhan UTM dan latarbelakang kampus telah disampaikan sendiri oleh Dr. Noor Aimran Samsudin di Galeri Terbuka PSZ.

Di ruang tersebut, pihak PSZ sedang menganjurkan pameran ‘Sebutir Bintang Secercah Cahaya, Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid’ bermula 21 April sehingga 21 Jun 2019.

Lawatan ringkas tersebut telah memberi peluang kepada delegasi MSB MSU untuk mengenali UTM secara lebih dekat melihat potensi menyambung pelajaran di peringkat seterusnya di universiti ini.

Selesai lawatan tersebut, para delegasi telah dibawa melawat sekitar kampus melihat kemudahan lain di sekitar Jalan Lingkaran Ilmu sebelum bertolak pulang.

Explore More