April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Mei — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Unit Wakaf UTM membantu meringankan beban mahasiswa dan staf apabila menyampaikan sumbangan sempena Hari Raya dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Duit Raya Dana Wakaf Pendidikan UTM di Masjid Sultan Ismail, UTM kampus Johor Bahru, di sini, hari ini.

Seramai 32 orang pelajar serta 50 orang staf telah diberi bantuan berbentuk wang tunai dan disampaikan oleh Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor, di sini hari ini.

DYMM Permaisuri Johor kemudian diiringi Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar, pegawai-pegawai kanan universiti serta wakil pelajar, Siti Nurul Wahida Sheikh Kamar, Nur Azlin Idayu Md Adam dan Muhammad Ikhmal Borhan untuk berbuka puasa bersama lebih 1,000 orang warga UTM di masjid berkenaan.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar berkata Dana Wakaf Pendidikan UTM mula ditubuhkan setelah sebuah perjanjian persefahaman dimaterai antara UTM dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) pada 5 Disember 2016 di mana UTM telah dilantik sebagai Nazir Khas wakaf yang diberi kuasa untuk menjalankan urusan kutipan dan agihan dana wakaf.

“Kini setelah lebih dari 2 tahun beroperasi, Dana Wakaf Pendidikan UTM telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan telah berjaya memperolehi sumbangan lebih dari RM2 juta.

Sumbangan yang diperolehi adalah dari potongan gaji staf UTM dan sumbangan dari individu serta sumbangan dari syarikat korporat,” kata beliau.

Menurut beliau, selain daripada wakaf am yang bertujuan utama bagi memberikan biasiswa kepada pelajar, Dana Wakaf Pendidikan UTM juga menjalankan beberapa projek wakaf khas, antaranya ialah projek wakaf penukaran karpet Masjid Sultan Ismail dan projek wakaf kipas Masjid Sultan Ismail.

“Terkini bilangan staf yang melakukan potongan gaji masih lagi rendah iaitu seramai 536 orang iaitu dalam lingkungan 11% sahaja dari jumlah keseluruhan staf.

Oleh itu saya dengan ini ingin mengajak pada hadirin untuk bersama-sama memberikan infaq terutamanya di bulan Ramadan yang mulia ini kerana sebaik-baik sedekah adalah sedekah di bulan Ramadan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Wakaf UTM, Prof Madya Dr. Ahmad bin Che Yaacob berkata, wang yang terkumpul telah dilaburkan dalam Simpanan Tetap dan setelah memperolehi hibah keuntungan dari pelaburan ianya diagihkan mengikut ketetapan yang telah dipersetujui dalam perjanjian bersama MAINJ iaitu sebanyak 30% diagihkan kepada pelajar UTM, 10% kepada pengurusan wakaf, 10% kepada MAINJ dan 50% dilaburkan kembali.

“Ini bermakna wang wakaf adalah dijamin selamat dan akan sentiasa bertambah dan pengagihan tersebut adalah untuk memastikan pewakaf akan sentiasa memperolehi ganjaran pahala yang berterusan dan berkekalan walaupun selepas kematian pewakaf.

Kita turut menyeru agar lebih ramai staf yang menjadi pewakaf termasuk alumni UTM untuk menyumbang ke Dana Wakaf Pendidikan UTM sebagai membalas kembali jasa universiti dan bagi memastikan kelestarian ekosistem kehidupan kerana dengan berwakaf bukan sahaja akan dapat membantu bagi memastikan kebajikan staf dan pelajar, malah akan dapat meninggikan kedudukan pewakaf,” kata beliau.

 

Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor berkenan menyampaikan bantuan Hari Raya kepada pelajar sambil diperhatikan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir Dr Wahid bin Omar (kiri)
Canselor UTM, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah, Tuanku Permaisuri Johor berkenan berbuka puasa bersama kira-kira 1000 orang pelajar UTM

Explore More