Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

KUALA LUMPUR, 1 Apr. — Tiga karya terbitan Penerbit UTM Press berjaya dinobatkan anugerah dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019.

Karya yang dimaksudkan ialah JDT – Johor Darul Ta’zim: An Abode of Dignity bagi Buku Umum Terbaik (Kategori Warisan Diraja); Almarhum Sultan Ismail Johor 1894–1981 – Buku Umum Terbaik (Kategori Biografi Diraja);  serta Syahidnya Kapten Luis De Souza bagi kategori Novel Sejarah.

Buku JDT – Johor Darul Ta’zim: An Abode of Dignity adalah hasil nukilan keempat Karyawan Tamu UTM Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor.

Buku setebal 206 halaman ini, JDT–Johor Darul Ta’zim: An Abode of Dignity, wajar diangkat sebagai Buku Umum Terbaik (Warisan Diraja) sementelah kandungannya yang menarik walaupun sarat dengan fakta sejarah kepada pembaca yang ingin mengenali negeri Johor dengan lebih dekat lagi.

Buku seterusnya yang  berjaya dinobatkan  menerima anugerah berjudul Almarhum Sultan Ismail Johor 1894–1981, iaitu karya Ahmad Fadhli bin Syed Hassan, salah seorang Pegawai Penerbitan di Penerbit UTM Press .

Uniknya, tidak ramai penulis muda era ini yang berminat menulis bahan sejarah yang memerlukan usaha keras dalam kerja-kerja pengumpulan fakta dan pengolahan ayat yang tepat.

Walau bagaimanapun, usaha beliau berbayar apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Sultan Iskandar, Sultan Johor, berkenan melancarkan buku berkenaan sempena Hari Keputeraan baginda pada November yang lalu di Batu Pahat bersama-sama dengan buku JDT – Johor Darul Ta’zim: An Abode of Dignity, karya Yang Berhormat Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor.

Sementara itu, novel Syahidnya Kapten Luis De Souza, hasil nukilan ahli akademik UTM, yang kini menabur bakti jauh di Zanzibar, Prof. Dr. Amran Md. Rasli wajar diberi pengiktirafan kerana novel berlatarkan sejarah seperti ini semakin sukar diperoleh di pasaran.

Usaha murni pensyarah berjiwa seni ini amatlah dihargai dan perlu dicontohi oleh karyawan muda dalam mengangkat sejarah negara dalam bentuk yang lebih popular dan segar.

Majlis penganugerahan tahunan ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Khalid bin Abdul Samad, selaku Menteri Wilayah Persekutuan, yang turut sama dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Pembangunan Buku Negara (YBPN), YBhg. Tuan Haji Hassan Hamzah berserta ahli tertinggi YBPN.

http://www.penerbit.utm.my/

Explore More