April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Dipilih Menjadi Pusat Latihan Mengajar Bahasa Jepun oleh pelajar Universiti Tsukuba

JOHOR BAHRU, 12 Mac — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Akademi Bahasa telah dijadikan tempat untuk menjalankan latihan mengajar Bahasa Jepun oleh lima orang pelajar Universiti Tsukuba selama tiga minggu bermula dari 15 Februari 2019.
Perkara ini merupakan kesinambungan daripada sebuah Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universiti Tsukuba pada tahun 2011 dan penghormatan diberikan pada Akademi Bahasa untuk melatih bakal guru bahasa Jepun dari Fakulti Bahasa dan Budaya Jepun, Universiti Tsukuba.
Menurut pensyarah bahasa Jepun yang menyelia para pelatih, En Kumaraguru Ramayah, program ini merupakan satu pengiktirafan tinggi pada UTM kerana diberi kepercayaan untuk melatih para pelajar Jepun.
En.Kumaraguru merupakan graduan Universiti Tsukuba yang telah mengikuti pengajian bahasa dan budaya Jepun di Tsukuba di bawah program guru bahasa Jepun, Dasar Pandang Ke Timur dan beliau turut melanjutkan pengajian sarjana di Tsukuba bawah tajaan kerajaan Jepun.
Menurut beliau, 2019 merupakan tahun kesembilan bagi program seumpama ini.
“Sehingga kini, seramai 33 orang pelatih dari Universiti Tsukuba telah menjalani latihan mengajar ini di UTM di mana mereka diperkenalkan kepada program bahasa Jepun dan diberi peluang untuk mengajar pelajar di UTM.
Kehadiran para pelatih ini membuka ruang untuk pelajar UTM untuk mengaplikasikan bahasa Jepun yang telah dipelajari dan menjalin persahabatan dengan pelajar Jepun.
Yang paling membanggakan ialah Tsukuba buat masa ini hanya menghantar pelajar untuk program seumpama ini ke UTM sahaja,” tambah beliau.
Untuk kesudian UTM menerima para pelatih ini, seorang pelajar UTM diberi peluang untuk menghadiri kursus Bahasa dan Budaya Jepun selama dua bulan di Osaka bawah tajaan penuh Yayasan Jepun.
Program ini turut melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru di mana mereka ditempatkan di SM Sultan Ismail selama seminggu untuk mengenali program Bahasa Jepun kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Para pelatih Tsukuba ketika ditemui amat tertarik dengan kepelbagaian pengajaran bahasa di Malaysia.
Salah seorang pelatih, Cik  Ikeda Yukina, pelajar tahun 2, berkata beliau telah memilih untuk datang ke UTM setelah mendengar keberkesanaan program ini daripada pelajar senior di Tsukuba.
Cik Haruna pula teruja dengan keunikan Malaysia sebagai negara majmuk dan ingin mengetahui rahsianya.

Explore More