Disember 23, 2024

Dr. Zulkifli Khair dan para penerima anugerah bergambar bersama Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Osman Sapian

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

JOHOR BAHRU, 18 Mac — Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Pensyarah Kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulkifli Khair atas kemenangan dalam Anugerah Sastera Johor 2019 untuk kategori cerpen eceran.

Anugerah tersebut disampaikan oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Osman Sapian di Yayasan Warisan Johor.

Kemenangan beliau adalah melalui cerpen berjudul ‘Taubat Al-Munawarah’ yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam antologi cerpen Di Antara Pusam dengan Pournami.

Cerpen ini mengisahkan pemakan rasuah yang bertaubat di mana turut mengangkat Sultan Abdul Hamid II, selaku khalifah terakhir dalam kerajaan Uthmaniyah yang sewajarnya dinobatkan sebagai ‘Tokoh Anti Rasuah Dunia.’

Sultan Abdul Hamid II pernah dirasuah oleh pihak Zionis dengan jumlah tawaran wang yang amat besar ekoran misi pihak Zionis yang mahu menguasai Palestin sekali gus ingin menubuhkan Israel Raya.

Bagaimanapun baginda dengan tegas menolak tawaran tersebut.

Dr. Zulkifli Khair bukan orang baharu di dalam dunia penulisan kreatif.

Beliau sebelum ini pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan-Public Bank (1995), Lomba Cerpen Pendek Yayasan Multimedia Sastra Jakarta (2002), Sayembara Menulis Cereka Sains Karyanet DBP (2004 & 2005), johan Hadiah Sastera Berunsur Islam Peringkat Kebangsaan (2012) dan Anugerah Seni Kreativiti UTM (2015).

Beberapa artikel beliau juga sebelum ini pernah tersiar dalam akhbar tempatan seperti Berita Harian.

Dr. Zulkifli Khair bersama sijil pengiktirafan Anugerah Sastera Johor 2019

Explore More