April 20, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 13 Apr. — Mengambil kira tanggungjawab sosial dalam memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kaedah sebenar dalam menjimatkan tenaga elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Karnival Jom Kurangkan Bil Elektrik di Sekolah Tun Fatimah, di sini, hari ini.

Karnival ini diadakan bertujuan untuk menyemai budaya jimatkan pengunaan bil elektrik di kalangan pelajar dari bangku sekolah lagi agar dapat membina masyarakat yang lestari.

Pengarah program, Dr. Jasrul Jamani bin Jamian berkata kesedaran tentang penjimatan elektrik pula adalah amat penting untuk membuka mata orang awam agar tidak tertipu dengan pelbagai iklan “Alat Jimat Elektrik” yang tular di laman sesawang.

“Iklan seperti ini telah menyebabkan banyak pengguna tertipu kerana beranggapan “Alat Jimat Elektrik” ini mampu untuk membantu mereka berdasarkan video yang ditayangkan oleh penjual di media sosial.

Hakikatnya, kaedah sebenar penjimatan elektrik adalah dengan menggunakan alat yang bekecekapan tinggi atau mempunyai label 5 bintang dari pihak suruhanjaya tenaga.

Walaupun kos permulaan akan tinggi sedikit, namun penjimatan yang besar pada setiap bulan boleh diperoleh. katanya yang turut merupakan pensyarah Sekolah Kejuruteraan Elektrik UTM.

Dalam program tersebut, UTM telah menukar 130 lampu di sekolah tersebut dan turut membangunkan sistem solar di wakaf Galeri Doktor Muda.

Galeri ini mempunyai pameran tentang subjek biologi dan sentiasa digunakan oleh pelajar STF dalam mengadakan perbincangan kumpulan.

“Sebelum ini, galeri ini tidak mempunyai lampu mahupun kipas bagi kegunaan pelajar. Kami mengambil initiatif untuk mambangunkan ia supaya dapat digunakan. Pihak sekolah turut menyuarakan hasrat untuk mambangunkan sistem yang sama pada semua wakaf kelak.”

Karnival tersebut merupakan hasil kerjasama UTM melalui Sekolah Kejuruteraan Elektrik dan Pusat Jaringan Komuniti Industri (CCIN) dengan Suruhanjaya Tenaga Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Politeknik Ibrahim Sultan, Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas, Plus Solar System Sdn Bhd, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Sekolah Tun Fatimah (STF).

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Negeri Johor, Yang Berhormat Jimmy Puah Wee Tse.

 

Panel Solar untuk penjimatan elektrik

Explore More