Pensyarah-Penyelidik SITC UTM Kunjungi Pemain Utama Industri Sukan Negara

JOHOR BAHRU, 20 Mac. — Pasukan Pensyarah Penyelidik Sports Innovation Technology Centre (SITC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di bawah payung Institute Human Centred Engineering (iHuMen) telah melebarkan sayap dan menyuburkan program perkongsian dan pemindahan ilmu apabila melaksanakan pelan perancangan strategik SPORTS 4.0 dengan melakukan lawatan hubungan industri luar dan kolaborasi penyelidikan bersama pemain utama Industri Sukan Negara iaitu  Astro Arena (801), Akademi Badminton Negara (BAM), Institut Sukan Negara (ISN), Innotex Sdn Bhd, Proton Motorsports Dan Velostudio.

Kejayaan pasukan pensyarah-penyelidik UTM ini adalah melalui pelan perancangan strategik tahunan 2019 iaitu merencanakan kolaborasi strategik untuk menjayakan kesepakatan, keterangkuman UTM GLOBAL dan keterlibatan UTM bersama pihak industri luar.

Ia seiring dengan misi dan visi SITC iaitu mengenalpasti bakat baru, menganalisis prestasi sukan dan membangunkan alat teknologi sukan untuk kemajuan sukan negara.

Penganjuran program ini melibatkan sejumlah 10 orang pensyarah yang terdiri daripada pelbagai bidang iaitu pensyarah bidang kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan komputer dan kejuruteraan bioperubatan yang di ketuai oleh Dr Muhammad Noor Harun (Pengarah SITC).

Program ini adalah merupakan satu sejarah baru kepada pasukan SITC kerana ini adalah kali pertama ia dilaksanakan setelah 5 tahun penubuhan Sports Innovation Technology Centre UTM.

Penantian selama lima tahun ini juga adalah merupakan satu tempoh yang matang untuk pembentukan sebuah pasukan penyelidik peneraju utama di dalam bidang teknologi dan kejuruteraan sukan.

Pelan Strategik ini telah dirancang sejak tahun 2018 lagi dan telah mengambil masa selama tempoh enam bulan iaitu melibatkan pelbagai siri perbincangan dan penelitian bersama oleh pasukan pensyarah penyelidik SITC demi memastikan program yang dirancang berjalan dengan lancar dan dapat memberikan manfaat kepada atlet, jurulatih, pasukan dan arena sukan negara.

Kekuatan utama pasukan SITC UTM adalah melibatkan bidang Sains Sukan, Prestasi Sukan dan Teknologi Sukan dan ketiga-tiga bidang ini telah menjadi penanda aras penubuhan SITC.

Ini adalah kerana UTM merupakan universiti terulung di dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Malaysia.

Oleh itu, pelan strategik yang dirancang oleh SITC melibatkan ke arah penggunaan teknologi sedia ada, teknologi baru dan pembangunan alat teknologi sukan untuk membantu meningkatkan prestasi sukan negara.

Selain itu, pelan strategik ini memberi fokus kepada sukan utama penyumbang pingat Olimpik negara.

Justeru, SITC terpanggil untuk membantu sukan utama negara seperti badminton dan basikal untuk memecahkan kebuntuan pingat emas Olimpik Pertama Negara dan membantu atlet negara melalui aktiviti penyelidikan sukan sekaligus dapat mengharumkan nama negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kerjasama ini juga dapat meningkat ekonomi negara di mana kemampuan dan keupayaan sukan negara menjadi rujukan luar.

 

 

Selain itu, pemilihan kerjasama industri sukan ini juga melibatkan bidang media penyiaran sukan dan bidang permotoran sukan negara.

Astro Arena adalah sebuah rancangan sukan utama di media penyiaran Malaysia yang hanya memberi fokus kepada rancangan sukan sahaja.

Justeru itu, koloborasi strategik ini dapat menjadi batu loncatan agar hasil dapatan kajian penyelidikan dapat dipaparkan di media utama.

Manakala bidang permotoron sukan negara, SITC telah memilih untuk bekerjasama dengan PROTON MOTORSPORTS kerana Proton adalah merupakan jenama otomobil nasional pertama negara.

Oleh itu, ia adalah menjadi tanggungjawab social SITC sebagai rakyat Malaysia dalam memastikan kejayaan sukan permotoran negara melibatkan jenama Proton.

Tujuan utama program ini adalah sebagai platform utama perkongsian ilmu, percambahan minda dan permeteraian kerjasama antara delegasi SITC UTM dan pihak industri sukan negara khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan sukan.

Delegasi pensyarah penyelidik SITC UTM telah menjalankan program ini selama 3 hari (20hb – 23hb Mac 2019) iaitu bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Bagi sesi pada hari pertama ia melibatkan kunjung hormat ke ASTRO ARENA dan BAM.

Manakala sesi pada hari kedua pula melibatkan syarikat INNOTEX SDN BHD dan INSTITUT SUKAN NEGARA.

Pada hari terakhir pula delegasi SITC UTM telah melakukan kunjung hormat ke PROTON MOTORSPORTS dan VELOSTUDIO. Aktiviti yang di rancang ini melibatkan jadual yang padat dan program yang berimpak tinggi.

Kesemua industri sukan ini telah memberi kerjasama yang amat baik dan menunjukkan maklumbalas yang sangat positif dalam perbincangan yang dilakukan.

Hasil mesyuarat yang dilaksanakan jelas menunjukkan terdapat ruang dan peluang yang masih boleh diperbaiki demi kemajuan sukan negara.

Justeru, perbincangan ini akan dilaksanakan secara berkala dan diperhalusi dari semasa ke semasa.

Semoga aktiviti sebegini berterusan dan universiti tidak lagi dikatakan hanya fokus dan tertutup di dalam komuniti universiti sahaja.

Masyarakat sekitar juga boleh keluar masuk universiti tanpa halangan seperti ke perpustakaan, muzium dan sebagainya.

Oleh itu, SITC UTM ingin memecahkan kepompong ini dan cuba menjenamakan SITC dengan cara melakukan pemasaran kepakaran dan kerjasama penyelidikan bersama.

Delegasi SITC UTM juga telah melakukan kunjung hormat ke Proton Motorsports.

Aktiviti Proton Motorsports adalah merupakan satu inisiatif aktiviti pemasaran untuk meningkatkan lagi tarikan jenama Proton kepada masyarakat.

Peranan SITC UTM adalah untuk membantu pelumba proton meningkatkan lagi keupayaan dan prestasi mereka di dalam perlumbaan kereta.

 

Seterusnya demi menyahut seruan UTM dalam program jejak alumni dan meneruskan kesinambungan kejayaan alumni UTM di peringkat nasional dan antarabangsa, delegasi UTM juga telah berhubung dengan alumni pelajar UTM yang telah bekerja di Institut Sukan Negara dan berjumpa dengan mereka.

Ia adalah menjadi satu kebanggaan apabila melihat alumni UTM seramai 4 orang yang merupakan bekas pelajar Fakulti Kejuruteraan telah bekerja di bahagian Sports Technology, Institut Sukan Negara.

Apa yang lebih membanggakan alumni UTM ini menyambut kedatangan delegasi pensyarah penyelidik UTM dan mesyuarat bersama semasa aktiviti kunjung hormat berlangsung.

Delegasi SITC UTM telah dibawa melawat ke setiap makmal- makmal sukan di Institut Sukan Negara oleh pelajar alumni UTM dan di ketuai Dr Yeo selaku ketua bahagian penyelidikan ISN.

Perbincangan yang dilakukan adalah bagaimana dapat meningkatkan lagi kerjasama penyelidikan bersama dan staff ISN menyambung pengajian postgraduate di UTM.

 

Semua laporan ini akan diserahkan kepada Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan UTM, ketua bahagian Commercialisation Industry dan Community Engagement (CiCe iHuMen), pihak Institut Human Centred Engineering (iHuMen UTM) dan Universiti Teknologi Malaysia.

Koloborasi strategik juga akan dijalankan dengan perancangan menandatangani MoU antara UTM dan pemain industri sukan negara bagi membolehkan kerjasama ini berterusan dan berjalan lancar demi kemajuan Pendidikan dan Sukan negara.

Akhir kata, menjayakan kesepakatan, keterangkuman UTM GLOBAL dan keterlibatan industri adalah tanggungjawab bersama. Sekian Terima Kasih. Malaysia Tanahairku. Majulah Sukan 4.0 untuk negara!!

Disediakan oleh,

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Felo penyelidik Sports Innovation Teknologi Centre (SITC)

Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan & Sains Kesihatan (SKBSK)

Felo Kolej Tun Dr Ismail (KTDI)

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *