Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

SHAH ALAM, 23 Mac — Dua orang pelajar UTM yang mewakili Kontinjen Silat Cekak Pusaka Hanafi (SCPH) dalam Kejuaraan Wajadiri Pusaka Hanafi Peringkat Kebangsaan (IPT & Sekolah) 2019 telah berjaya meraih anugerah Pesilat Terbaik IPT Lelaki dan Wanita, kedua-duanya menerusi Kategori Umum Kreatif di Kompleks Sukan Negara Panasonic Shah Alam, 23 Mac lalu.

Khairul Anwar Bin Rahim, pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal-Automotif, Fakulti Kejuruteraan dan Nur Haifa Izzati Binti Hassan, pelajar Tahun 4 Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan-Binaan Bangunan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan  telah membantu pasukan mereka dengan cemerlang sehingga dinobatkan anugerah tersebut,

Ini merupakan julung-julung kalinya Kontinjen SCPH-UTM mendapat anugerah pesilat terbaik berganda.

Kontinjen SCPH-UTM yang diwakili oleh 39 orang ahli Persatuan Seni Silat Cekak UTM (PSSCUTM) – 15 orang Siswa, 23 orang Siswi dan seorang Staf juga telah berjaya menggondol gelaran Juara Keseluruhan Peringkat Institusi Pengajian Tinggi (Lelaki).

Secara keseluruhannya daripada 12 kategori (Lelaki & Wanita) yang dipertandingkan, Kontinjen SCPH-UTM berjaya membawa pulang lima pingat emas (menerusi Kategori Umum Kreatif Lelaki dan Wanita, Sepasang Pisau Lelaki serta Kategori Buah Jatuh Standard Lelaki dan Wanita), satu pingat Perak (Kategori Sepasang Kaki Lelaki) dan satu pingat Gangsa (Kategori Sepasang Kaki Wanita).

Dari segi pungutan pingat, Kontinjen SCPH-UTM berada pada kedudukan pertama daripada 44 buah IPT yang bertanding, namun oleh kerana penentuan juara keseluruhan adalah berdasarkan jumlah pungutan mata, maka Juara Keseluruhan Peringkat IPT telah dimenangi oleh Kontinjen SCPH-UiTM Machang yang juga telah memenangi Juara Keseluruhan Peringkat IPT (Wanita)

Walau bagaimanapun, menang kalah itu adat pertandingan dan pasukan SCPH-UTM akan tetap mewakili UTM pada tahun-tahun seterusnya.

Sehubungan dengan itu, negeri Sabah di bawah bayu telah diumumkan sebagai tuan rumah Kejuaraan Wajadiri Kebangsaan tahun 2020 oleh Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia, YM Syeikh Dr Hj Md Radzi Hj Hanafi, Presiden yang juga merupakan Pewaris Mutlak Silat Cekak.

Oleh itu, besar harapan PSSCUTM untuk menghantar sebilangan pasukan bersama pelapis-pelapis penuntut Silat Cekak Pusaka Hanafi yan gbaru pada tahun hadapan.

Penglibatan ini juga selaras dengan matlamat utama Kejuaraan Wajadiri itu sendiri iaitu untuk mencapai hasrat kerajaan dalam membudayakan seni warisan asli bangsa Melayu terutamanya ilmu mempertahankan diri di samping dapat menerapkan nilai-nilai positif kepada belia seperti semangat nasionalisme, semangat kerjasama dan berpasukan serta dapat juga mendisiplinkan diri.

Khairul Anwar Bin Rahim (kiri) dan Nur Haifa Izzati Binti Hassan bersama trofi kemenangan masing-masing

 

Explore More