Disember 13, 2024

Search
Close this search box.

TANJUNG MALIM, 18 Mac — Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Farah Nadia Zaini dari Sekolah Komputeran serta Albert Chong Ming Cai dan Tung Jin Keat dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga telah memenangi tempat kedua melalui idea perniagaan mereka yang dipanggil Chem/AR (Chemistry Augmented Reality) dalam Program Siswapreneur Innovation Challenge (PSIC) yang berlangsung pada 12 Mac 2019 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini.

Program anjuran Majlis Mahasiswa, Kolej Harun Aminurrashid, UPSI ini diadakan bertujuan menyediakan landasan untuk mahasiswa bagi melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan dan seterusnya melahirkan mahasiswa yang mempunyai daya inovasi dan kreativiti yang tinggi serta berdaya saing, sekaligus dapat membantu ke arah penjanaan ekonomi negara melalui pembangunan modal insan.

Dalam pertandingan tersebut, peserta-peserta dikehendaki untuk mengetengahkan (pitching) idea perniagaan mereka menerusi pembentangan slaid, poster bersaiz A1 berserta prototaip produk.

Pelajar dari UTM telah mempamerkan idea perniagaan mereka iaitu Edu/AR (Education Augmented Reality) dengan prototaip yang diberikan nama Chem/AR (Chemistry Augmented Reality).

Chem/AR merupakan sebuah aplikasi yang dapat membantu mempermudah proses pembelajaran pelajar sekolah menengah yang mengambil subjek Kimia dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR).

Menerusi idea dan prototaip yang berinovatif serta berimpak ini, mereka telah berjaya memenangi tempat kedua dalam SIC dengan hadiah wang tunai berjumlah RM800.

Platform SIC ini juga membolehkan mereka untuk menerima nasihat serta pandangan yang positif daripada panel selain pengunjung bagi membolehkan mereka menambahbaik produk Chem/AR.

Panel juri SIC yang terlibat dalam penilaian antaranya adalah Dr Jessnor Elmy Mat Jizat dan Dr Muhammad Firdaus daripada UPSI.

Asas penyertaan pelajar UTM adalah berdasarkan kepada penglibatan aktif pelajar-pelajar tersebut dalam beberapa program anjuran Pusat Inovasi Mahasiswa dan Teknologi Keusahawanan UTM (UTM XCITE) selain telah memenangi beberapa siri pertandingan yang disertai diperingkat Universiti, Johor dan Nasional.

Pertandingan yang bertaraf nasional tersebut juga telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 10 kumpulan pelajar daripada pelbagai universiti awam di Malaysia selain daripada UPSI sendiri.

 

Explore More