Dr. Zulkifli Khair di persidangan di Universiti Sarghoda, Pakistan

Disediakan oleh: Azra Ayue Abdul Rahman

PUNJAB, 27 Feb. — Pensyarah Kanan Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Dr. Zulkifli Khair telah diundang sebagai pembicara jemputan di sebuah persidangan antarabangsa di Universiti Sargodha, Pakistan untuk berkongsi kepakaran dan pendapat tentang isu ketidakcukupan makanan di negara tersebut.

Beliau telah mendapat tajaan penuh untuk ke persidangan antarabangsa tersebut dan merupakan stu-satuntya wakil dari Malaysia di samping pembentang-pembentang dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Iran dan Pakistan.

Pemilihan ini menunjukkan masyarakat luar memandang tinggi terhadap kepakaran penyelidik dari UTM.

Persidangan ini dianjurkan oleh Institute of Food Sciences and Nutrition, Universiti Sargodha.

Dalam persidangan tersebut, Dr. Zulkifli membentangkan kertas kerja beliau “Global Issue on Food Insecurity in Higher Education Institutes” yang membincangkan pertalian antara ketidakcukupan makanan (food insecurity) dengan aspek prestasi dan peribadi pelajar.

Menurut beliau, berdasarkan kepada puluhan literatur berkaitan, ketidakcukupan makanan dapat memberikan kesan negatif kepada prestasi akademik pelajar.

“Lebih membimbangkan, senario ketidakcukupan makanan bukan sekadar berlaku di negara-negara membangun bahkan di negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat.

Tahap ketidakcukupan makanan di Malaysia adalah sebanyak 67.1%, Sri Lanka (73.1%), Afrika Selatan (34.7-60%), Greece (45%), Australia (12.7-60.8%), Kanada (30-46%) dan Amerika Syarikat (15-59%),” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar penyelidik menjalankan lebih banyak kajian sistematik di institut pengajian tinggi seluruh dunia dan menyediakan penyelesaian yang komprehensif dan lestari, termasuk penyelesaian holistik terhadap program bantuan makanan di kampus.

Berita mengenai Dr. Zulkifli Khair dan persidangan yang beliau hadiri boleh dilihat menerusi pautan https://uos.edu.pk/news/post/Emerging-challenges-in-Food-Science-and-nutrition-research-