April 26, 2024

Search
Close this search box.

BEIJING,  12 Mac. — Pasukan pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menempa sejarah baru buat UTM apabila berjaya mengibarkan bendera universiti ini di Tembok Besar China dan menganjurkan program Global Outreach Knowledge Acquisition@China (GLOKA 19) melalui hasil penjanaan kewangan dan penajaan yang diusahakan selama setahun apabila mereka menyertai lawatan rasmi ke Universiti Beihang.

Kejayaan pasukan pelajar dan pensyarah UTM ini adalah merupakan pemangkin semangat kepada warga UTM untuk mengharumkan nama universiti di salah satu Seven Wonders of the World dan membawa nama UTM di peringkat global.

Ia seiring peribahasa melayu yang telah diterapkan sejak dari kecil lagi di peringkat sekolah iaitu “Menuntut ilmu sehingga ke negara China”.

Dalam lawatan tersebut, seramai lapan orang pelajar yang terdiri daripada pasukan Seketeriat Mahasiswa Johor (SEJATI) dari pelbagai bidang iaitu Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Komputer, Biomedical, Pengurusan Ekuin dan Matematik ini diketuai oleh Presiden SEJATI, Umar Mahfudz Bin Md Ashari dan di bawah bimbingan pensyarah kanan Sekolah Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Dr Hadafi Fitri Mohd Latip telah dijemput untuk mengunjungi kedutaan Malaysia di Beijing, China.

Kedutaan Malaysia di Beijing, China berfungsi sebagai tempat perlindungan utama rakyat Malaysia yang menetap di China dan merupakan tempat berkumpul sekiranya berlaku sebarang kecemasan atau pun penganjuran majlis rasmi kepada rakyat Malaysia di China.

Delegasi tersebut telah disambut oleh Pegawai Pendidikan, Tn Aziz How sebelum membawa delegasi UTM ke pejabat kedutaan Malaysia untuk memberikan amanat dan taklimat agar delegasi UTM menjaga nama baik Malaysia, menjadi duta kecil Malaysia dan menunjukan kehebatan delegasi UTM di Universiti Beihang.

Tn Aziz How mengharapkan hasil lawatan rasmi ini berjaya dan meningkatkan lagi jumlah kerjasama Malaysia dan China terutama di dalam bidang pendidikan.

Ini kerana bidang Pendidikan merupakan teras utama kerajaan China di mana pelbagai inisiatif dan bantuan telah diberikan kepada pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa di negara tersebut.

Tujuan utama program ini adalah untuk dijadikan sebagai platform utama perkongsian ilmu, percambahan minda dan permateraian kerjasama antara delegasi UTM dengan pihak Universiti Beihang khususnya dalam bidang kejuruteraan rehabilitasi.

Bagi sesi pertama lawatan ini, para peserta terlebih dahulu diberi taklimat dan kata-kata aluan oleh Pengurus Progam Antarabangsa, Universiti Beihang, Tn. Qizheng.

Sepanjang taklimat tersebut, beliau telah memberikan penerangan mengenai sejarah penubuhan dan pencapaian Universiti Beihang serta menjelaskan jurusan-jurusan yang ditawarkan secara terperinci dan kerjasama yang boleh dilakukan di antara dua pihak.

Universiti Beihang merupakan universiti yang menduduki ranking pertama dalam bidang aeronautik di negara China dan merupakan antara universiti terbaik di dunia.

Sesi taklimat ini diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh Dr Hadafi Fitri atas kesudian pihak Universiti Beihang menerima kedatangan delegasi dan hasrat utama yang ingin dicapai melalui pertemuan dan perbincangan ini.

Pihak delegasi UTM telah membentangkan objektif program GLOKA 19, latar belakang UTM serta menerangkan kajian rehabilitasi sukan & teknologi sukan dan pembangunan alat teknologi rehabilitasi yang telah dibangunkan oleh Sports Innovation Technology Centre di bawah Institute of Human Centered Engineering (iHuMen UTM).

Sesi taklimat ini diakhiri dengan persetujuan bersama untuk melakukan kerjasama dan perbincangan melalui emel rasmi.

Sesi kedua seterusnya, para delegasi UTM telah di bawa melawat ke makmal-makmal kejuruteraan rehabilitasi dan stadium utama tertutup Universiti Beihang.

Seterusnya demi menyahut seruan UTM dalam program jejak alumni dan meneruskan kesinambungan kejayaan alumni UTM di peringkat nasional dan antarabangsa, delegasi UTM juga telah melakukan inisiatif sendiri melalui jejak alumni UTM ke Universiti Tsinghua.

Universiti Tsinghua adalah merupakan universiti terulung di China di mana Presiden China yang kini adalah antara alumninya.

Apa yang lebih membanggakan terdapat alumni UTM yang menyambung pengajian di peringkat sarjana di Tsinghua Universiti dalam bidang kejuruteraan Nuklear.

Delegasi UTM telah dibawa melawat ke Universiti Tsinghua oleh pelajar alumni UTM.

Perbincangan yang dilakukan adalah bagaimana dapat meningkatkan lagi jumlah pelajar Malaysia yang menyambung pengajian di Universiti Tsinghua dan pelbagai peluang bidang yang tidak tertumpu hanya kepada kejuruteraan nuklear sahaja.

Wakil pelajar Malaysia di Universiti Tsinghua akan membawa perkara ini dalam perbincangan rasmi di antara pelajar Tsinghua Universiti dan pejabat kedutaan Malaysia di China.

Program GLOKA 19 telah menyatukan pelajar alumni UTM dan pelajar sekreteriat mahasiswa johor (SEJATI) di China.

Pelajar Alumni UTM yang menyambung pengajian di China telah menyantuni delegasi UTM dengan turut membawa mereka ke Stadium Olimpik Beijing.

Ia sebagai sebuah simbolik pertemuan delegasi pelajar UTM dan pelajar alumni UTM untuk mempunyai impian berjaya di peringkat antarabangsa.

Ia ibarat pepatah dimana bumi dipijak disitulah langit dijunjung di mana UTM sanjungan bangsa dan graduan UTM adalah sentiasa akan menjadi anak kandung UTM dan akan berbakti semula sebagai alumni UTM.

Semua laporan ini akan diserahkan kepada Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM, Pejabat UTMI, pihak Kedutaan Malaysia di China, pihak Institut Human Centred Engineering (iHuMen UTM) dan Universiti Teknologi Malaysia.

Koloborasi strategik juga akan dijalankan dengan perancangan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UTM dan Universiti Beihang bagi membolehkan kerjasama ini berterusan dan berjalan lancar demi kemajuan pendidikan negara.

Akhir kata, menjayakan kesepakatan , keterangkuman UTM GLOBAL dan keterlibatan adalah tanggungjawab bersama.

 

 

 

Disediakan oleh,

Dr Hadafi Fitri Mohd Latip

Felo Kolej Tun Dr Ismail

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan

Pasukan Strategik Seketeriat Mahasiswa Johor(Sejati)

Explore More