JOHOR BAHRU, 26 Mac —  Johor Innovation Valley atau  JIVe  telah menarik perhatian penyelidik daripada seluruh Institusi Pengajian Tinggi Johor untuk turut serta menjayakan inisiatif pembangunan Negeri Johor menerusi inovasi yang dibangunkan di institusi pengajian tinggi masing-masing.

Sebanyak 37 kertas kerja cadangan projek daripada Universiti Awam di Johor termasuklah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pasir Gudang, Universiti Tun Hussien Onn (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Institut Pendidikan Guru Temenggong Ibrahim telah dibentangkan kepada panel yang terdiri daripada wakil-wakil Pejabat Daerah Negeri Johor.

Kertas kerja ini akan diperakukan sebelum dimajukan kepada Jawatankuasa Pelaksana JIVe untuk pemilihan akhir.

JIVe yang dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda Bin Haji Hassan pada akhir tahun lalu adalah memperuntukkan sejumlah RM500,000.

JIVe adalah program kerjasama strategik antara UTM selaku sekretariat dan Kerajaan Negeri Johor dengan penerapan model “quintuple helix” iaitu pensinergian kepakaran semua IPTA di Negeri Johor, kerajaan sebagai pengubal dasar dan polisi, komuniti, industri dan media sosial.

Kelima-lima entiti ini merupakan gabungan penting dalam memperkasa peranan dan kebolehupayaan masing-masing agar dapat dimanfaatkan untuk pembangunan Johor yang insklusif, lestari dan berkemajuan.

Model kerjasama strategik ini juga merupakan yang pertama diaplikasikan di Malaysia.

Kertas kerja cadangan projek yang dimajukan perlulah menyokong kepada keperluan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) serta penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Daerah.

Ianya juga perlu mempamerkan empat pendekatan kreatif dan sistematik iaitu kos yang rendah, impak tinggi, pelaksanaan yang pantas dan kelestarian. Pembiayaan projek akan diselesaikan secara bersama samada melalui Kerajaan Negeri, Agensi, Pihak Berkuasa Tempatan, geran penyelidikan mahupun sumbangan daripada industri.