April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 8 Mac. – Seramai 140 orang pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4 (SKTU4) diberi pendedahan untuk menjalani dan merasai pengalaman kehidupan seorang mahasiswa daripada seorang pelajar sehingga konvokesyen apabila menghadiri Program Motivasi Pelajar “Saya Seorang Graduan’ (SSG) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Pelajar-pelajar ini meluangkan masa di UTM bagi menghayati persekitaran dan suasana pembelajaran di kampus lestari tersebut dan merasai sendiri pengalaman seperti seorang pelajar seperti menghadiri kuliah, membuat tugasan dan bekerja secara berkumpulan.

Dalam program tersebut pelajar telah diberi pendedahan penekanan dari aspek motivasi, kecemerlangan, perkongsian pengalaman serta peluang kerjaya setelah bergelar seorang graduan agar lebih bersemangat dan fokus terhadap pembelajaran demi mencapai kejayaan dalam kehidupan.

Di akhir program, pelajar diraikan dalam sebuah majlis seperti seorang graduan sebenar dan  diberikan sijil penyertaan dalam bentuk skrol yang dimasukkan dalam folder album berlogo UTM.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Perakaunan dan Kewangan (JPK),  Azman Hashim International Business School (AHIBS) bertempat di Dewan Konvensyen fakulti tersebut.

Majlis telah dirasmikan oleh Dekan AHIBS, Prof. Dr. Nur Naha binti Abu Mansor dan dihadiri oleh kira-kira 350 orang termasuk ibu bapa, Guru Besar SKTU4, Encik Zulkarnain bin Masrin, guru-guru SKTU4 dan semua pensyarah JPK fakulti tersebut.

Program SSG tersebut merupakan program khidmat masyarakat yang bertujuan untuk memberi ilmu dan motivasi kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) agar lebih bersedia dari segi mental dan fizikal.

Antara acara yang diadakan ialah sesi ceramah kepada pelajar yang disampaikan oleh pensyarah-pensyarah AHIBS iaitu ‘Kehidupan di Universiti’ Dr. Dewi Fariha Abdullah dan ‘Penetapan Objektif dan Matlamat Minda: “Saya Seorang Graduan” oleh Dr. Norhalimah Idris serta taklimat motivasi kepada ibu bapa iaitu ‘Menuju ke Menara Gading: Kepentingan Sokongan dan Galakan Keluarga’ oleh Prof. Madya Dr. Maisarah Mohamed Saat dan ‘Rahsia Keibubapaan’ oleh Dr. Noriza Mohd Jamal.

Program ini telah mendapat pengiktirafan lima bintang Star Rating oleh MyRA sebanyak empat kali berturut-turut.

 

Explore More