JOHOR BAHRU, 15 Mac — Tiga orang pakar dari Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa (JK) Saintifik oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yang Berhormat Yeo Bee Yin bagi membantu memberikan maklumat dan pendapat saintifik kepada Jawatankuasa Bencana Pasir Gudang.

JK ini dipengerusikan oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff dan turut dibantu oleh Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UTM iaitu Prof. Madya Dr. Jafariah binti Jaafar serta pensyarah kanan fakulti tersebut iaitu Dr. Faizuan bin Abdullah.

Keahlian JK adalah terdiri daripada agensi-agensi kerajaan dan pakar berkaitan iaitu Jabatan Alam Sekitar, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Met Dept, Jabatan Kesihatan, Jabatan Kimia, UTM, Petronas dan ERM.

Prof Rahim berkata, mesyuarat pertama adalah dimulakan pada pukul 10 pagi hari Jumaat 15 Mac 2019 di Pusat Gerakan Bencana di MPPG.

“Fungsi jawatankuasa ini adalah untuk mengenal pasti punca dan pergerakan bahan pencemar (environmental fate) dan kesannya terhadap alam sekitar dan kesihatan manusia.

JK ini juga akan mengenal pasti langkah, tindakan dan kawalan bagi menangani pencemaran bahan kimia beracun di Sungai Kim-Kim you ini,” tambah beliau.

Untuk itu, pihak UTM juga diberi tanggungjawab untuk menjalankan persampelan kualiti udara, air, tanah dan darah untuk analisa kimia bagi menentukan punca pencemaran dan cara mengatasinya di Pasir Gudang, Johor.

Pelantikan ini membuktikan kepakaran dan teknologi UTM adalah diiktiraf dan diperakui sehingga mendapat kepercayaan untuk dilantik bagi mengetuai pasukan penyiasat saintifik kes pencemaran ini.

Semoga UTM dapat sama-sama memberi sumbangan agar tragedi ini dapat diakhiri dengan segera.