Mei 25, 2024

Search
Close this search box.

Johor Rugby League 2019 : UTM Pirates menang besar menewaskan PIS Thundercats RC

23 Februari 2019, Skudai – Pasukan ragbi UTM yang dikenali sebagai UTM Pirates sekali lagi menyertai Kejohanan Ragbi 15 Sebelah Liga Johor edisi 2019 (JRL 2019).

Kejohanan tahunan ini adalah anjuran Kesatuan Ragbi Negeri Johor (JRU) dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), Sports Johor Sdn Bhd dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Seperti tahun-tahun sebelumnya, JRL 2019 dibahagikan kepada 2 zon permainan iaitu zon utara dan zon selatan. 19 pasukan yang menyertai JRL 2019 ini dibahagi kepada 2 divisyen iaitu Divisyen 1 dengan 10 penyertaan pasukan dan Divisyen 2 dengan 9 penyertaan pasukan.

Kejohanan edisi 2019 ini dijadualkan berlangsung bermula dari 23 Februari 2019 sehingga 13 April 2019 selama 8 minggu. Bagi zon selatan, semua perlawanan adalah dijadualkan berlangsung di Padang Utama, UTM Johor Bahru.

Objektif utama penganjuran JRL 2019 adalah bagi mencungkil serta memilih pemain yang akan mewakili negeri Johor dalam beberapa edisi kejohanan peringkat kebangsaan antaranya adalah Piala Agong, 7 Sepasukan Kebangsaan, SUKMA 2020 dan MAKSAK.

Pada kejohanan edisi kali ini, UTM Pirates telah didaftarkan bagi kategori Divisyen 2. Bagi perlawanan pertama yang berlangsung pada 23 Februari 2019 bertempat di Padang B, Padang Utama UTM Johor Bahru, UTM Pirates telah bertemu dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Thundercats. Pertembungan pada jam 3.00 petang itu telah menyaksikan kemenangan besar UTM Pirates dengan keputusan 78 berbalas 0.

Menurut kapten pasukan, Saudara Mohammad Syarif Bin Azman, barisan pemain pada edisi kali ini adalah majoriti daripada pelajar tahun 1 dan 2 program Ijazah Sarjana Muda. Disamping itu, kemenangan pada perlawanan sulong ini diharap dapat menyuntik semangat pemain dan terus berusaha dengan lebih gigih bagi menghadapi beberapa lagi baki perlawanan.

Selaku pegawai pengurusan pasukan ragbi UTM, En. Wan Eizalie bin Wan Mohamed Nor, mengucapkan tahniah kepada para pemain dan menyatakan bahawa kemenangan ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan kepada UTM di mana semangat juang dan kerjasama berpasukan yang baik telah ditunjukkan sepanjang perlawanan berlangsung.

Walaubagaimanapun, beliau turut mengingatkan para pemain agar tidak cepat berpuas hati kerana saingan baru sahaja bermula dan perlu fokus bagi memenangkan perlawanan-perlawanan yang seterusnya.

Disamping itu, beliau turut memaklumkan bahawa JRL 2019 merupakan platform terbaik bagi mempersiap pasukan dalam menghadapi Karnival Sukan MASUM (Majlis Sukan Universiti Malaysia) yang bakal diadakan sekitar bulan Julai hingga Ogos 2019 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang.

Laporan oleh : Akmal Ayob
Gambar: UTM Pirates RC

Persediaan pasukan – makan tengah hari bersama di Arked Meranti, UTM Johor Bahru

Kapten pasukan, Mohammad Syarif Bin Azman, bersedia mengambil sepak mula perlawanan
di antara UTM Pirates RC menentang PIS Thundercats

UTM Pirates RC bergambar kenangan selepas berjaya menewaskan PIS Thundercats 78-0

Pemain mengambil gambar kenangan selepas perlawanan

Jurulatih pasukan, En. Shahriezaniel Bin Salim bersama
unit penganalis perlawanan (game analyst)

Explore More