Disember 22, 2024

KUALA LUMPUR, 19 Februari 2019 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya membangunkan produk penjagaan kulit berasaskan Halia Hutan di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Produk yang diberikan nama ‘Halea- Natural Skin Care’ ini telah diproses dan dikeluarkan oleh syarikat A.M. Zaideen Ventures Sdn. Bhd. yang juga merupakan sebuah syarikat hiliran milik universiti itu.

Pengarah Urusan A.M Zaideen Ventures Sdn. Bhd, Dr. Mariam Firdhaus Mad Nordin berkata produk ini adalah terhasil melalui hasil penyelidikan UTM daripada lempoyang yang turut juga dikenali sebagai Halia Hutan atau Halia Liar.

“Nama saintifik lempoyang ialah Zingiber Zerumbet yang merupakan tumbuhan dari spesies keluarga halia dan boleh ditemui di dalam hutan hujan tropika.

“Bahan aktif yang terdapat dalam lempoyang kaya dengan anti-oksidan berupaya untuk memberi manfaat kepada kulit sambil bertindak sebagai agen anti-penuaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran produk berkenaan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam majlis perhimpunan bulanan staf universiti itu yang berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur.

Turut hadir ialah Pro-Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul Sahibuddin dan juga Pendaftar UTM, Encik Abdul Razib Hj. Shahuddin.

Dr. Mariam berkata pengekstrakan lempoyang telah dilakukan di MJIIT melalui proses pengekstrakan berasaskan air dengan menggunakan peralatan yang direkabentuknya sebagai bahan kajian lanjutan di bawah seliaan Ketua Penyelidik sebelumnya, Prof. Dr. Noor Azian Morad yang telah bersara dari UTM pada 2016.

Selain itu, pengalaman beliau dalam merekabentuk peralatan serta kajian terhadap produk asas tani semasa berada di McGill University, Canada, turut menyumbang kepada kejayaan penghasilan produk berasaskan sepsis halia ini.

Selain itu juga, konsep ‘Halalan Toyyiban’ turut dititikberatkan dan diperkenalkan bersempena dengan pelancaran produk ini dan manfaatnya dikongsi bersama masyarakat sambil menyuntik semangat keusahawanan di kalangan pelajar, pensyarah dan masyarakat umum ke arah mencipta peluang pekerjaan tersendiri.

Dr. Mariam (lima kiri) sewaktu pelancaran produk ‘Halea Skin Care’ di Dewan Azman Hashim oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar pada 19 Februari lepas.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More