November 6, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 Jan. — Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi telah turun padang untuk menyelami dan merasai susah payah golongan gelandangan yang kurang bernasib baik melalui Program Kemanusian – Raikan Gelandangan bersama dengan tiga non-governmental organization (NGO) di sini.

Seramai 30 pelajar Kolej Tun Fatimah serta warga UTM menyertai misi kemanusiaan tersebut bersama REXCI, Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia serta Miesya Yunus Holding Sdn. Bhd. pada 25 Januari 2019 dari jam 12.00 malam sehingga 2.30 pagi di sekitar Bandaraya Johor Bahru.

Kerjasama misi kemanusian yang berfokuskan mengedarkan makanan kepada gelandangan ini dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Kolej Tun Fatimah ini bersama pihak NGO dan dilihat mampu memberi impak positif kepada golongan muda dalam menanamkan sifat memberi dan membantu orang yang memerlukan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus mengucapkan tahniah kepada peserta dan semua pihak yang terlibat dalam misi kemanusiaan ini.

Jelas sekali misi hebat seperti ini dapat menarik minat para pelajar ke dunia kesukarelawanan dan sekali gus dapat menanam sifat kemanusiaan dalam diri serta mengelakkan para pelajar daripada melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah.

Menurut Pengetua Kolej Tun Fatimah, Dr Noor Mala Binti Ibrahim, beliau sangat teruja dengan pengalaman yang diperoleh pada malam itu kerana buat pertama kali beliau menyertai program seumpama ini.

Beliau juga melahirkan rasa kagum terhadap kegigihan semua pihak terlibat mengenalpasti dan mendekati kelompok gelandangan yang kurang bernasib baik ini.

“Kami sentiasa akan mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama dalam misi kemanusian pada masa akan datang” katanya lagi ketika berucap di Anjung Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Anjung Singgah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) merupakan projek dengan sokongan kerajaan dalam usaha membantu golongan gelandangan bagi memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk hidup berdikari.

Anjung Singgah YKN menyediakan kemudahan tempat tinggal sementara, makan minum dan sebagai pusat intervensi bagi mempersiap sediakan mereka menempuhi cabaran hidup agar tidak  terpinggir daripada arus pembangunan negara.

Anjung Singgah juga sentiasa menerima pelbagai sumbangan dari orang perseorangan, syarikat korporat dan sesiapa sahaja yang berminat untuk bersama-sama membantu golongan gelandangan.

Pada masa ini Anjung Singgah telah diwujudkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kuching, Sarawak, Pulau Pinang, Perak dan Johor Bahru.

Peneraju utama misi ini,  Nur Aishah binti Mat Yunus yang juga wakil Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan sebuah universiti tersohor seperti UTM dan berharap kesemua sukarelawan terlibat dapat menimba ilmu dan pengalaman yang bermakna melalui program Raikan Gelandangan ini”.

Turut menyertai misi pada malam itu ialah pelajar dan felo daripada Kolej Tun Fatimah, pelajar dari Persatuan Sejati Anak Johor dan empat anggota Bahagian Keselamatan UTM yang diketuai oleh Pengarahnya, Abd Rahim bin Abd. Karim.

Explore More