April 24, 2024

Search
Close this search box.

ROMPIN, 24 Jan. — Seramai 25 pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Malaysia telah menceriakan warga Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Anggerik, Kuala Rompin apabila bersama-sama menjalankan aktiviti harian di pusat tersebut pada 24 Januari 2019 lalu.

Program kerja amal khidmat masyarakat yang diadakan sempena Team Building MPP tersebut bertujuan untuk menyantuni dan mendekatkan diri semua dengan semua warga pusat tersebut yang rata-rata terdiri daripada golongan orang kurang upaya (OKU) sekitar Kuala Rompin.

Selain menyumbang tenaga dan khidmat bakti kepada pusat tersebut, ia turut bertujuan memberi kesedaran dan rasa tanggungjawab kepada mahasiswa dan masyarakat terhadap program pemulihan golongan OKU dan peranan PDK untuk menggalakkan golongan istimewa ini berdikari bagi menjamin kehidupan sejahtera dan produktif.

Pemulihan Dalam Komuniti merupakan program yang diwujudkan oleh Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) bertujuan untuk memberi peluang sama rata kepada golongan OKU untuk berintegrasi dengan masyarakat melalui pelbagai program, aktiviti pemulihan dan pendidikan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM Prof. Dr. Durrishah Idrus, kerja-kerja kesukarelawanan seperti ini merupakan salah satu fokus penting dalam menyokong agenda negara dalam menjadikan ‘universiti untuk masyarakat’ dan agenda universiti untuk memacu kecemerlangan pendidikan tinggi berpaksikan kemanusiaan.

“Usaha ini diharap mampu untuk memupuk sifat kasih sayang dan sikap ‘ambil peduli’ dengan keperluan semua golongan di sekeliling dalam diri mahasiswa untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat.

Oleh itu, semoga melalui elemen kasih sayang, hormat menghormati dan kebahagiaan yang diterapkan dalam program ini dapat memberi manfaat besar kepada kedua-dua belah pihak iaitu PDK dan MPP sendiri,” tambah beliau.

Penyelia PDK Anggerik, Martini Ismail berkata, kesemua penghuni gembira dengan kehadiran pelajar-pelajar UTM ini terutamanya semasa persembahan tarian, nyanyian dan agihan hadiah.

“Kami amat berterima kasih dan saya secara peribadi sangat kagum dengan keperihatinan serta sifat ramah semua pelajar terlibat bergaul dengan pelatih,” ujarnya lagi.

Bagi Setiausaha Kehormat MPP UTM, Nur Maisarah Tahir, kerja kemasyarakatan di PDK Anggerik ini memberikan pengalaman yang baru semasa menjalani kem dan meningkatkan sifat kemanusiaan dalam diri kesemua barisan pemimpin pelajar.

Antara kerja-kerja terlibat ialah pembersihan sekitar kawasan sekolah, longkang dan saliran, menyusunatur buku di perpustakaan mini, pengindahan kolam ikan serta mengecat semula bangunan sekolah.

Pasukan MPP juga mengedarkan beberapa barangan sumbangan cenderahati kepada penghuni seperti beg, baju dan coklat.

 

Explore More