Disember 25, 2024

JOHOR BAHRU, 13 Jan. — Lima mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatat sejarah apabila menjadi mahasiswa universiti awam pertama menerima pentauliahan sebagai Imam Masjid daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) selama tiga tahun bermula 2019, di sini hari ini.

Mahasiswa tersebut adalah dari Fakulti Kejuruteran iaitu Muhammad Kamil bin Yahya, Abdul Hadi bin Mohd Subki, Syamil Bin Rosli, Muhammad Dhiauddin Bin Ahmad Termizi dan seorang dari Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Nik Mohammad Aiman Bin Ibrahim.

Pentauliahan ini akan melayakkan mahasiswa-mahasiswa ini untuk menjadi imam di Masjid Sultan Ismail UTM secara khususnya di mana mereka akan mengimamkan solat mengikut jadual yang akan ditetapkan dan akan turut dilatih menjadi Khatib bagi Solat Jumaat.

Majlis pentauliahan tersebut telah disempurnakan oleh Kadi Daerah Kulai, Tuan Kadi As-Sheikh Tuan Hj Sabaruddin bin Isnin di Masjid Al-Firdaus, Kg Air Manis Kulai.

Untuk mendapat pentauliahan, kelima-lima mahasiswa ini telah menjalani dua saringan ujian iaitu peperiksaan bertulis dan sesi temuduga bersama pegawai Pejabat Kadi Daerah Kulai.

Bagi mahasiswa dari universiti yang bidang utamanya ialah kejuruteraan, pentauliahan ini adalah lebih bermakna dan unik kerana mereka bukanlah daripada bidang pendidikan Islam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata pentauliahan ini merupakan usaha pelbagai pihak di UTM termasuk Pusat Islam  dalam melahirkan graduan holistik dan serba boleh dalam pelbagai bidang selain dari bidang pengajian mereka.

“Mahasiswa-mahasiswa tersebut merupakan yang terlibat dengan program “signature” UTM iaitu 5 Excellent Track Programmes (5ETP) dari teras Teknohafiz.

Diharap pelajar-pelajar UTM dapat meneruskan kecemerlangan dan menjadi contoh kepada semua pelajar dalam mendidik generasi muda dalam menimba ilmu di dunia dan di akhirat,” tambah beliau.

5ETP merupakan program elit dan unik untuk membangunkan bakat, minat, menjana kreativiti dan motivasi secara holistik bagi melahirkan mahasiswa UTM yang dinamik dan berkualiti dan mempunyai lima teras iaitu Kepimpinan Global, Minda Nobel, Teknousahawan, Kecemerlangan Sukan dan Teknohafiz.

Teras Teknohafiz akan melahirkan mahasiswa yang mampu memahami makna, hukum dan hikmah Al-Quran serta boleh mengaplikasikannya dalam profesion yang diceburi.

Mahasiswa UTM yang berminat perlu membuat permohonan dan antara syarat-syarat 5ETP ialah perlu mempunyai prestasi akademik yang cemerlang dan mengekalkan prestasi sepanjang pengajian untuk terus kekal dalam kumpulan teras 5ETP ini.

Menurut Prof Durrishah lagi, pemantauan pelajar-pelajar 5ETP Teknohafiz ini dilakukan secara kerjasama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Islam UTM.

“Ini menunjukkan bahawa UTM bukan sahaja melahirkan graduan dari jurusan kejuruteraan malah turut membantu melahirkan golongan pelajar holistik di mana selain mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang, mereka turut berkelayakan menjadi imam/tenaga pengajar pada masyarakat setempat,” katanya.

Salah seorang dari mahasiswa tersebut, Muhammad Kamil Yahya berharap agar semoga pengurniaan tauliah ini dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada masyarakat Islam khususnya warga UTM.

Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi yang baru dinobatkan sebagai Johan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang pada 29 November 2018 lalu bersyukur dengan nikmat yang diberi sebagai satu penghargaan dan ujian untuk beliau dan rakan-rakan lain.

“Saya memandang pentauliahan ini sebagai cabaran untuk peningkatan diri,” katanya.

Bagi Syamil Rosli, pentauliahan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat tinggi kepada para imam namun pada masa yang sama,  tanggungjawab yang akan dipikul lebih berat berbanding apa yang terlihat di mata kasar.

“Antara cabaran utama kami ialah bagaimana mahu menarik lebih ramai anak muda hadir mengimarahkan masjid-masjid” tambah beliau.

Merakamkan kenangan selepas majlis pentauliahan, dari kiri Muhammad Kamil Yahya, Syamil Rosli, Hj. Sabaruddin Isnin (Kadi Daerah Kulai), Muhammad Dhiauddin Ahmad Termizi dan Nik Mohammad Aiman Ibrahim
Pelajar bersama pegawai dari MAIJ dan UTM

Explore More