April 18, 2024

Search
Close this search box.

FTIR Terima Lawatan Kerja Daripada Universitas Diponegoro Untuk Kolaborasi Strategik 2019 – 2020

KUALA LUMPUR, 20 Dis. – Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Kuala Lumpur telah menerima kunjungan delegasi seramai lapan orang pensyarah dan seorang pentadbir daripada Fakultas Teknik, Universitas Diponegoro (FT-UNDIP), Semarang, Indonesia.

Tujuan lawatan adalah bagi menghadiri Bengkel Kerjasama Siri No. 3 di UTM Kuala Lumpur yang merupakan kesinambungan kepada bengkel pertama yang dijalankan di UTM Kuala Lumpur pada Oktober 2017 dan bengkel kedua di UNDIP pada Februari 2018.

Penganjuran bengkel kali ini adalah bagi membolehkan kedua-dua belah pihak menyemak pelaksanaan dan pencapaian beberapa aktiviti bersama bagi tahun 2018 dan seterusnya menambahbaik beberapa aktiviti kolaborasi bagi tahun 2019 dan 2020.

Foto berkumpulan delegasi FT-UNDIP bersama Dekan FTIR di bangunan BATC, UTM Kuala Lumpur

Kunjungan selama tiga hari yang bermula pada 17 Disember dan berakhir pada 19 Disember tersebut dimulai dengan sesi sambutan delegasi oleh Pengarah Program iaitu Dr. Khairul Hisyam bin Kamarudin, diikuti oleh ucapan ketua delegasi yang juga merupakan Timbalan Dekan Penyelidikan FT-UNDIP iaitu Dr. Jati Utomo Dwi Hatmoko.

Dekan FTIR, Prof. Ir. Dr. Sha’ri Mohd Yusof kemudiannya menyampaikan ucapan aluan dan seterusnya membuka sesi bengkel dan perbincangan.

Program hari kedua diteruskan dengan beberapa aktiviti termasuklah sesi “open lecture” yang disampaikan oleh tiga orang pensyarah UNDIP, lawatan Ketua Pejabat Fakultas, FT-UNDIP iaitu Ari Eko Widyantoro ke bahagian pentadbiran FTIR bagi meninjau amalan pengurusan akademik dan sumber manusia.

Setelah itu, program tersebut diteruskan dengan perbincangan bagi mewujudkan sinergi penulisan dan penerbitan di jurnal antarabangsa, perbincangan bagi menganjurkan beberapa persidangan antarabangsa bersama dan, sesi lawatan ke Makmal GeoBencana FTIR.

Setiap sesi perbincangan melibatkan penyertaan kakitangan akademik daripada beberapa jabatan di bawah FTIR termasuklah Jabatan Sains, Pengurusan dan Rekabentuk; Jabatan Kejuruteraan dan Pusat Perdana.

Poster bagi tiga siri “open lecture” yang disampaikan oleh para pensyarah FT-UNDIP

 

Suasana semasa berlangsungnya sesi bengkel dan perbincangan aktiviti kolaborasi

 

Sesi taklimat dan perbincangan peluang kolaborasi di Makmal Geobencana FTIR

Pada hari ketiga pula, anggota delegasi telah dibawa mengikuti siri lawatan yang dimulai dengan sesi “guided tour” ke kawasan bernilai warisan di pusat bandar Kuala Lumpur. Sesi penerangan dan lawatan disampaikan oleh Cik Mariana Isa, ahli sejarah dan juga merupakan Setiausaha Kehormat ICOMOS Malaysia.

Manakala, bagi sesi sebelah petang, para delegasi dibawa ke Putrajaya bagi meninjau amalan perancangan dan reka bentuk bandar pentadbiran utama negara ini.

Anggota delegasi FT-UNDIP berfoto kenang-kenangan bersama Cik Mariana (lima dari kiri) usai sesi “guided tour”
Anggota delegasi FT-UNDIP berfoto di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya semasa sesi lawatan hari ke-3 kunjungan kolaborasi

Secara keseluruhannya, lawatan kerja dan perlaksanaan bengkel serta perbincangan bagi memperkukuhkan kolaborasi diantara pihak FT-UNDIP dengan FTIR, UTM Kuala Lumpur telah mencapai objektif yang disasarkan.

Pelbagai kegiatan bagi manfaat bersama telah diperhalusi dan dipersetujui kedua-dua belah pihak di samping menghubungkan tenaga pakar akademik dan pentadbiran dipelbagai bidang yang berkaitan.

Disediakan oleh:

Dr. Khairul Hisyam bin Kamarudin

Pensyarah / Pengarah Program

Lawatan Kolaborasi dan Bengkel Siri No. 3, FT-UNDIP ke FTIR, UTM Kuala Lumpur

17-19 Disember 2018

Explore More