Oktober 8, 2024

Search
Close this search box.

Menggalas tugas sebagai kakitangan perpustakaan di universiti yang bertaraf Universiti Penyelidikan tentulah bukan perkara mudah kerana menuntut mereka untuk sentiasa mempunyai bahan rujukan kepada pelajar, pensyarah dan penyelidik.

Menjawab tiada adalah sama sekali tidak dibenarkan kerana perpustakaan merupakan gedung ilmu dan pusat rujukan dan sememangnya menuntut komitmen, sikap bertanggungjawab dan cekap dari kakitangannya.

Apalagi dalam masa yang sama, turut menggalas tugas sebagai ibu dan isteri namun memiliki impian  menggunung untuk memberi nilai tambah pada diri dari segi akademik. Sudah tentu begitu banyak dugaan dan halangan yang perlu ditempuhi.

Itulah yang dirasai dan dialami oleh empat Pustakawan di Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kesemua keperihan dan kesusahan yang dilalui menjadi sebuah kenangan manis apabila telah segala usaha membuahkan hasil dan telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Pendidikan (Teknologi Pendidikan) dari Fakulti Pendidikan pada Majlis Konvokesyen UTM kali ke-61 hari ini.

Bagi Syazwani Syamimi Mat Pauzi, selaku mahasiswa yang memakai 4 ‘topi’ yakni pekerja kepada majikan, isteri kepada suami, ibu kepada 3 anak dan mahasiswa, beliau berpegang kepada peribahasa alah bisa tegal biasa.

“Cabaran paling utama sebenarnya bermula apabila proses penulisan tesis bermula. Tekanan yang dilalui menyebabkan saya terpaksa menangguh pengajian selama setahun kerana tiada kemajuan. Namun oleh kerana dorongan rakan seperjuangan pustakawan lain yang sentiasa saling ingat mengingati, telah membangkitkan semula semangat untuk meneruskan pengajian sehingga berjaya.

Sebagai staf perpustakaan UTM, ia merupakan satu kelebihan kepada kami kerana kami sememangnya berada di gudang ilmu dan memudahkan kami mendapatkan bahan pembelajaran dan rujukan untuk setiap tugasan.

Memandangkan masa yang terhad, saya cuba ‘mencuri masa’ selepas waktu bekerja ataupun hari minggu, untungnya bersama rakan sekerja dan rakan sekelas menyebabkan saya tidak tertinggal tarikh-tarikh penting,” tambah beliau.

Bagi Norashikin Binti Johari pula pengalaman belajar adalah sangat manis apabila sepanjang tempoh pengajian, beliau turut melalui beberapa fasa perubahan dalam kehidupan.

Beliau memulakan pengajian sebagai seorang bujang, berkahwin semasa pengajian dan dianugerahkan cahaya mata juga semasa dalam sesi pengajian.

“Belajar sambil bekerja bukan satu perkara yang mudah, dengan kerja hakiki di pejabat, perlu pula untuk membahagikan masa hadir ke kelas pada setiap petang. Komitmen yang tinggi sangat diperlukan.

Menyambung pengajian secara separuh masa juga menuntut pengurusan masa yang baik dan adanya teman-teman yang dalam situasi yang sama, amat membantu untuk merancang dengan lebih baik” tambah beliau.

Perkara yang sama turut dipersetujui oleh seorang lagi Pustakawan, Mohamad Fahiezan bin Md Zan.

Menurutnya, kesungguhan untuk menggulung sebuah ijazah sarjana membuatkan beliau berani berhadapan dengan kesemua cabaran dan dugaan sebagai bapa, suami, kakitangan kerajaan dan pelajar.

Bagi Norhafisah binti Zakaria pula, dia hampir putus asa pada saat-saat akhir kerana pada masa itulah, sepatutnya beliau hanya perlu menumpu perhatian kepada penulisan tesis, namun beliau hanya sedar perlu mengambil semula satu subjek kerana markah yang kurang memuaskan sebelum ini.

“Namun berkat semangat sahabat seperjuangan yang tidak henti-henti memberi semangat, dan mengenangkan impian yang dibina untuk ke menara gading bersama-sama, saya meneruskan perjuangan sehingga berjaya menempatkan tempat sebagai graduan Ijazah Sarjana pada Majlis Konvokesyen UTM sesi ini di samping tiga lagi rakan Pustakawan,” katanya.

Explore More