April 25, 2024

Search
Close this search box.

DUBAI, 11 Nov. – Empat graduan UTM tetap ingin merakamkan kenangan indah sempena konvokesyen sungguhpun berada nun jauh dari universiti tercinta.

Nur Zulzika Mohamad, Ummu Nusaibah Abdullah dan Rabiatul Adawiyah Mohamad mencatat kenangan tersendiri apabila mengenakan jubah konvokesyen di tengah-tengah keterikan cuaca padang pasir di Dubai.

Walau bagaimanapun seorang lagi pelajar, Ameer Zahid Mohamad Zafrullah tidak dapat menyertai sesi tersebut.

Keempat-empat mereka, semuanya berusia 23 tahun, sepatutnya menjadi sebahagian daripada graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-61 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang berlangsung Ahad lalu.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berada di Dubai bersama pasukan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membina model kediaman pintar mesra tenaga dinamakan Rumah Mizan dari aspek struktur, rangka, sistem paip air dan elektrik.

Rumah Mizan merupakan sebuah projek projek kerjasama USIM bersama UTM yang terpilih bersama 14 lagi model dari pelbagai universiti seluruh dunia yang menyertai Pertandingan Decathlon Solar Timur Tengah (SDME) 2018.

14 hari pertama di sana ialah sesi persediaan dan pembinaan, di mana pelajar-pelajar ini berdepan dengan cabaran cuaca sejuk di tengah malam dan ribut pasir berserta hujan.

Kini ia telah memasuki fasa kedua yang iaitu penilaian panel juri yang bermula dari 18 hingga 22 November 2018.

Keputusan rasmi bakal diumumkan dalam satu majlis khas pada 28 November.

UTM mengucapkan selamat berjaya diucapkan kepada semua! Menang atau tidak, anda tetap telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Nur Zulzika Mohamad (kanan sekali), Rabiatul Adawiyah Mohamad (tengah) dan Ummu Nusaibah Abdullah meraikan konvokesyen mereka di padang pasir di Dubai

Explore More