Disember 26, 2024

JOHOR BAHRU, 17 Nov. – Jabatan Kimia dinobatkan sebagai juara keseluruhan menewaskan tiga lagi jabatan lain dan membawa pulang piala pusingan dalam acara Sukan Fakulti Sains (SUKFAS 2018).

Acara tahunan ini telah dianjurkan oleh Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berlokasi di Padang Ragbi UTM.

Seramai 527 orang pelajar terdiri daripada setiap jabatan (Kimia, Biosains, Sains Matematik dan Fizik) telah turut bersama-sama memeriahkan pelbagai acara yang dipertandingkan.

Objektif utama penganjuran ini adalah untuk merapatkan ukhuwah sesama pelajar melalui aktiviti secara sihat dan pada masa yang sama kemahiran insaniah dapat dididik dan diterapkan di dalam diri ahli jawatankuasa pelajar sepanjang menjalankan program ini.

Penganjuran ini digerakkan secara keseluruhan oleh pelajar tahun dua dengan kerjasama Persatuan Sains dan Teknologi (PESAT) dan juga Persatuan Simbiosis.

Bertemakan ‘sukan rakyat’, antara acara yang dipertandingkan adalah teng-teng, sepak raga, boling kelapa, tuju selipar, bola sepak, bola beracun dan sebagainya.

Acara kemuncak pula telah diakhiri dengan pertandingan tarik tali menampilkan semua jabatan.

Beberapa staf akademik turut serta memberikan sokongan dengan turut serta di dalam sukan fakulti ini.

Acara sukaneka seperti membawa ping-pong dalam sudu dan mengambil gula-gula di dalam tepung turut diadakan kepada anak-anak kepada kakitangan dan staf Fakulti Sains.

Akhir kata, syabas diucapkan kepada pihak penganjur dan peserta.

 

Explore More