April 20, 2024

Search
Close this search box.

FABU sertai Bengkel Majlis Dekan Alam Bina (MDAB)

JOHOR BAHRU, 3 Nov.  – Pasukan pengurusan Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM telah menyertai Bengkel Majlis Dekan Alam Bina (MDAB) bertempat di Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 1 – 3 November 2018 yang lalu. Bengkel pada kali ini mengetengahkan tema “Future Proof Graduates and Industrial Revolution 4.0”.

Bengkel ini disertai oleh 11 buah universiti awam yang menawarkan program pengajian dalam bidang alam bina, merangkumi program senibina, senibina landskap, senireka dalaman, rekabentuk industri, ukur bahan, ukur bangunan, ukur tanah, pengurusan dan teknologi binaan, pengurusan hartanah, pengurusan taman dan ameniti.

Universiti Awam (UA) yang mengambil bahagian adalah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Fakulti Alam Bina dan Ukur telah diwakili oleh Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad (Dekan), Sr Dr. Zuhaili Mohamad Ramly (Penolong Dekan Hubungan Luar & Global), Prof. Madya Sr Dr. Zulkarnaini Mat Amin (Pengarah Geoinformasi) dan LAr Dr. Sapura Mohamad (Pengarah Senibina Landskap).

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pengurusan Pembangunan Akademik, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs Prof. Madya Dr. Wan Zuhainis Saad. Di dalam ucapan perasmian, beliau telah berkongsi perkembangan semasa di peringkat Kementerian dan menyuarakan beberapa saranan kepada ahli bengkel dalam mendepani cabaran untuk menghasilkan graduan yang kalis masa hadapan.

Antara penekanan yang disarankan merangkumi struktur kurikulum boleh ubah dan organik, penyampaian transformatif pengajaran dan pembelajaran, dan pentaksiran alternatif.

Mesyuarat Majlis Dekan Alam Bina turut diadakan dengan dipengerusikan oleh Prof. Madya LAr Dr. Osman Mohd Tahir, Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina, Universiti Putra Malaysia (UPM). Di akhir bengkel, sebanyak 25 resolusi telah dikenalpasti untuk diketengahkan merangkumi aspek akademik, penyelidikan, serta jaringan industri, masyarakat dan alumni.

 

Explore More