JOHOR BAHRU, 27 Okt : Seramai 40 mahasiswa tahun akhir di bawah kursus Bina Insan Guru, Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalankan  program ‘Kembara Kelestarian Kehidupan Marin’ (3KM) di Pulau Songsong, Yan Kedah.

Program ini turut dijalankan dengan kerjasama Komuniti Bot Songsong (KBS) yang berpengkalan di Jeti Kuala Sg Udang Yan.

Objektif program adalah untuk membantu memberi kesedaran orang ramai kepada menjaga persekitaran pulau dan aktiviti memulihara kelangsungan keunikan sekitaran pulau seperti terumbu karang yang indah dan kebersihan pantai.

Di samping itu mahasiswa bekerjasama membina fasiliti asas seperti tandas dan tempat mandi serta papan info tentang kepentingan kehidupan marin kepada pengunjung pulau tersebut.

 

Mahasiswa juga membuat pemerhatian terhadap pelestarian persekitaran marin dan melibatkan diri dengan permasalahan sekitar pulau di samping melatih pembentukan jati diri sebagai seorang bakal guru.

Menurut Shahrin Hashim, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, program yang dijalankan itu dapat memupuk kesedaran kepada mahasiswa mengenai tugas mendidik dan menyedarkan orang ramai tentang kepentingan menjaga ekosistem marin terutamanya terumbu karang yang merupakan khazanah bernilai negara untuk warisan generasi akan datang.

Pengarah Program 3KM, Keyong Liau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kepada bakal pendidik untuk menambahkan pengetahuan dari pelbagai bidang, seperti pengetahuan di dalam penjagaan alam sekitar untuk menyediakan diri dalam kepelbagaian kemahiran untuk memantapkan kemahiran insaniah mereka.

Wakil Komuniti Bot Songsong, Encik Jamil bin Ali pula berkata, kesungguhan para mahasiswa UTM di dalam menjalankan program ini menunjukkan bahawa kepentingan penjagaan ekosistem marin tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak.

Menurutnya lagi, penambahbaikan dari segi fasiliti pulau dapat membantu menarik lebih ramai pengunjung dan memberi keselesaan kepada mereka untuk datang menikmati keindahan Pulau Songsong.

Program dijalankan selama empat hari tiga malam bermula 23 hingga 27 Oktober menumpukan kepada kem kesedaran tentang pengetahuan mengenai terumbu karang dan penjagaannya serta pemasangan tiga buah tukun tiruan bagi tujuan pembenihan terumbu karang.

Para peserta program turut melakukan pemasangan pelampung buoyant untuk membuat penandaan kawasan penjagaan terumbu karang.

Tukun tiruan dan pelampung tersebut direkacipta oleh inovasi dari mahasiswa sendiri dengan bimbingan pihak Komuniti Bot Songsong serta para penyelam yang berpengkalan di pulau-pulau sekitar.

Laporan Oleh : Mohd Hafizi bin Mokhtar