April 26, 2024

Search
Close this search box.

Naib Canselor Rasmi Kedai Amal UTM (UTM Care Charity Shop)

JOHOR BAHRU, 1 Okt. – Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar hari ini merasmikan Kedai Amal UTM (UTM Care Charity Shop) yang merupakan salah satu daripada Tanggungjawab Sosial Universiti (University Social Responsibility) kepada komuniti.

Prof Wahid merasmikan Kedai Amal UTM di Dewan Senat, UTM Johor Bahru

 

Tercetus melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UTM, penubuhan kedai ini ialah satu usaha murni yang digerakkan oleh universiti sebagai kedai kebajikan atau kedai berjimat cermat selain membina reputasi kukuh hubungan libatsama komuniti dengan masyarakat sekitarnya.

Sumbangan yang diberikan melalui Kedai Amal ini akan dijual semula dengan harga yang sangat berpatutan kepada warga UTM dan orang awam dan hasil pendapatan akan disumbangkan terus ke dana wakaf dan endowmen UTM.

Bentuk barangan sumbangan adalah terdiri daripada pelbagai barangan boleh guna seperti makanan dan minuman asasi, barangan khidmat diri, pakaian bercirikan preloved item, barangan cenderamata, buku dan peralatan tulis, barangan kosmetik dan barangan keperluan harian seperti pinggan, mangkuk, dan sebagainya.

Golongan pembeli yang disasarkan ialah pelajar di bawah kategori B40 yang mewakili 50% daripada jumlah keseluruhan mahasiswa UTM selain staf dan komuniti sekitar yang berpendapatan rendah.

Warga UTM yang berminat untuk memberi sumbangan barangan boleh mendapatkan maklumat lanjut di facebook rasmi, iaitu https://www.facebook.com/UTMCareCharityShop/.

Sumbangan barangan tersebut boleh dibuat melalui ejen lantikan atau boleh terus menghantar ke Pusat Jaringan Komuniti dan Industri manakala sumbangan tunai juga boleh disalurkan ke tabung “Fundraising for UTM Care Charity Shop” di capaian https://crowdfund.utm.my/project/detail/155.

Bagi yang berminat untuk membeli juga boleh mengunjungi kedai yang akan beroperasi di Bangunan Persatuan Pelajar, UTM Kampus Skudai setiap hari Ahad sehingga Khamis, 8:30 pagi – 4:30 petang pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan.

Explore More