Disember 4, 2024

Search
Close this search box.

Pertandingan Persahabatan Robotik Sekolah Menengah Anjuran MJIIT dan Universiti Yamaguchi

Kuala Lumpur – Malaysia Japan International Institute of Technology (MJIIT) melalui Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan dengan kerjasama Universiti Yamaguchi telah mengadakan satu pertandingan persahabatan robotik dalam kalangan pelajar sekolah di bawah umur 18 tahun. Pertandingan telah berlangsung di Makmal Bahasa 3 & 4, Aras 2, MJIIT.

Program selama dua hari itu telah dikelolakan oleh Dr. Ahmad Muhsin Ithnin, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Kejituan MJIIT dan Dr. Mohd Azizi Abdul Rahman, Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Elektronik Sistem MJIIT dan diselia oleh wakil dari Universiti Yamaguchi, Prof. Madya Dr. Tsuyoshi Koga (Graduate School of Sciences and Technology for Innovation(Engineering). Sebanyak 4 buah sekolah dijemput iaitu SMK Aminuddin Baki, SMK Padang Tembak, SMK Seri Gombak dan St John`s Institution dan setiap sekolah diwakili oleh 4 orang pelajar. Pelajar sekolah turut dibantu oleh 14 orang pelajar dari Universiti Yamaguchi yang bertindak sebagai mentor kepada pelajar sekolah.

 

Program dimulakan dengan Bengkel Robotik. Para pelajar dibahagikan secara kumpulan dan setiap kumpulan diwakili oleh 2 orang pelajar sekolah dan dibantu 2 orang pelajar Universiti Yamaguchi. Setiap kumpulan akan merekacipta dan membangunkan sebuah robot sumo menggunakan Lego Mind Storm untuk dipertandingkan. Para pelajar juga didedahkan dengan sistem mengawal robot `Gyro Boy`. Bengkel bertujuan menambah lagi ilmu pengetahuan para pelajar dalam bidang robotik disamping dapat menimba pengalaman berinteraksi dan bekerjasama dengan pelajar antarabangsa.

Program diteruskan pada hari kedua dengan Pertandingan Persahabatan Robotik Di Kalangan Pelajar Sekolah. Pertandingan dipertandingkan menggunakan format `kalah mati`. Pasangan dari St. John`s Institution, Ilhammencez Bin Mohd Rasyidi dan Ryan Tam Chee Man menjadi juara dengan mengalahkan pasangan dari SMK Seri Gombak, Haziq Aiman Bin Mohd Faizal dan Muhammad Najmie Hakim Bin Tajudin di pusingan akhir.

Profesor Madya Dr. Tsuyoshi Koga (4 dari kiri) bersama semua peserta dari empat buah sekolah berlainan sekitar Lembah Klang.

 

Sumber :  Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN)

Explore More