April 16, 2024

Search
Close this search box.

UTM Menghasilkan Vortex Hidro Pertama di Malaysia bagi Masyarakat Orang Asli di Pos Lemoi, Cameron Highlands, Pahang

Program “Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli” merupakan projek Vortex Hidro yang pertama di Malaysia bagi membekalkan elektrik secara percuma kepada masyarakat luar bandar yang terpencil. Ia merupakan projek komuniti yang memberi penekanan kepada faktor alam sekitar, ekonomi, sosial, teknologi dan pendidikan (Environment, Economy, Social, Technology & Education). 

Program ini adalah sebahagian daripada tanggung jawab sosial (CSR) pihak UTM yang dilaksanakan secara kerjasama dengan pihak agensi kerajaan pusat, negeri, IPTA dan NGO yang berkaitan sejak Disember 2016. Ianya adalah dibawah pengurusan Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) dan dilaksanakan oleh penyelidik dari Azman Hashim International Business School, Sekolah Kejuruteraan Awam, Sekolah Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak serta melibatkan penyelidik daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM dan Fakulti Pertanian serta Fakulti Ekologi Manusia UPM.

Projek vortex hidro ini melibatkan pemindahan teknologi berkonsepkan kesukarelawan berimpak tinggi, mapan, dapatan hasil yang segera dan kos yang murah (high impact, sustainability, rapid execution & low cost). Pogram ini dilaksanakan di Kg Lemoi, Pos Lemoi, Cameron Highlands dan dapat memberikan manfaat kepada penduduk Kg Lemoi yang menempatkan sekitar 40 Ketua Isi rumah (KIR) dan 206 Ahli Isi rumah (AIR) dengan jumlah penduduk seramai 246 orang.

Sistem vortex hidro berbeza dengan konvensional hidro kerana ia tidak memerlukan kecuraman saluran air yang tinggi. Ia menggunakan konsep putaran pusar air yang akan memusingkan turbin untuk menjana elektrik. Sistem ini dibangunkan oleh saintis Bertrand Piccard pada tahun 2010 yang mempromosikan kaedah penjanaan elektrik menggunakan air yang murah dan tanpa mencemarkan alam sekitar di Schöftland, Switzerland untuk menjana elektrik hingga 15 kilowatts (kW). Projek ini sesuai untuk kecuraman aliran sungai (low head) antara 1 hinga 5 meter dan tidak memerlukan saiz empangan yang besar serta kos pembangunan dan pengurusan yang ekonomi. Ia merupakan kaedah penjanaan elektrik yang sesuai untuk kawasan pendalaman yang jauh dari grid elektrik yang sedia ada.

Dari kiri En. Lee Eng Khen, Profesor Dr. Durrishah Idrus, En. Johari Alwi, Profesor Dr Asan Ali Golam Hassan dan En. Zainal a/l Siapa

Pada 15 Ogos 2018 satu Majlis Pelancaran Program Integrasi Vortex Hidro dan Aktiviti Ekonomi Masyarakat Orang Asli di Pos Lemoi telah disempurnakan oleh En Johari Alwi, Pengarah JAKOA Negeri Pahang. Turut hadir adalah Pengarah Kawasan CIMB Bank Berhad, En Lee Eng Khen bersama beberapa orang Pegawai CIMB Bank Berhad, En Fairul Nazmie dari Kementerian Luar Bandar, Wakil Pejabat Daerah Cameron Highlands, Ahli Majlis Tertinggi & Naib Presiden Persatuan Orang Asli Malaysia Semenanjung Malaysia, Pegawai dari JAKOA beberapa negeri termasuk Kelantan, Wakil Guru SK Pos Lemoi serta penduduk Pos Lemoi.

Semua tetamu dibawa melawat mini-hidro vortex UTM, reban ternakan dan kolam ikan untuk pelepasan itik dan anak-anak ikan.

 

Explore More