April 26, 2024

Search
Close this search box.

Satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA), Indonesia  telah di adakan pada                9 hb Julai, 2018 di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.  Majlis itu telah di sempurnakan oleh YBhg Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia, dan Ir. H. Prabowo Setiayawan, Rektor, Universitas Islam Sultan Agung, dengan disaksikan oleh Prof. Dr. Khairul Anuar Kassim, Pengerusi Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UTM dan  Ir. H. Rachmat Mudiyono, Dekan Fakulti Kejuruteraan Awam, UNISSULA. Objektif utama MoU ini adalah untuk memeterai  kerjasama antara kedua-dua universiti yang sudah wujud sejak sekian lama.

Melalui MOU itu, kedua-dua universiti telah bersetuju untuk bekerjasama melalui aktiviti seperti program akademik pra dan pasca siswazah, penyelidikan dan penerbitan, seminar dan kursus professional, dan pertukaran pelajar dan pensyarah. Selain dari itu, kerjasama didalam perkhidmatan perundingan terutamanya di dalam bidang kejuruteraan forensik, dan lain-lain aktiviti yang dapat memacu ke arah kecemerlangan kedua-dua universiti juga telah dipersetujui.

Universitas Islam Sultan Agung (UNISSULA) adalah merupakan World Class Islamic Cyber University. Dengan moto “Bismillah Membangun Generasi Khaira Ummah”, UNISSULA merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta tertua dan terbesar di Jawa Tengah, Indonesia. Sehingga hari ini, UNISSULA telah berkembang menjadi universiti terkemuka dengan 12 fakulti dan 27 program sarjana dan 5 program pasca sarjana dan pasca diploma. Fakulti-fakulti tersebut ialah Fakulti Perubatan, Pergigian, Kejururawatan, Ekonomi, Psikologi, Undang-undang, Pengajian Islam, Bahasa, Komunikasi, Pendidikan, Teknologi Industri, dan Kejuruteraan. UNISSULA mempunyai jumlah pelajar seramai 14,000 orang, termasuk pelajar dari negara-negara lain di rantau ini.

Dengan pengalaman selama lebih 50 tahun, UNISSULA sentiasa berusaha meningkatkan prestasinya dengan menghasilkan graduan yang berkualiti melalui penerapan budaya akademik Islamik.  Seperti universiti-universiti swasta yang lain, Unissula yang tidak mendapat sebarang dana dari kerajaan, mempunyai kekuatan pengurusan kewangan yang terbukti telah berjaya. Ini mampu di kongsikan bersama UTM yang juga sudah berjaya di dalam usaha kearah pengurusan kewangan lestari.

Bapak Ir H.Prabowo, dan Ir H. Rachmat yang kedua-duanya merupakan lulusan PhD dari Fakulti Kejuruteraan Awam, UTM, berharap dengan termeterainya kerjasama dengan sebuah universiti ternama seperti UTM, akan dapat membantu UNISSULA menjadi lebih cemerlang. UNISSULA telah menubuhkan dan menempatkan pejabat sekretariat persatuan Alumni UTM kawasan Jawa Tengah sempena kunjungan hormat  Pengarah Alumni UTM dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada awal tahun ini.

Explore More