April 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM tunjuk komitmen positif dalam Audit MyRA

JOHOR BAHRU, 15 Mei 2018 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam sesi audit Penilaian Tapak bagi pencapaian Malaysia Research Assessment (MyRA) oleh  pemeriksa bertauliah yang dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).

Panel audit MyRA bergambar kenangan bersama pengurusan tertinggi UTM di Dewan Senat, kampus Johor Bahru.

MyRA ataupun Penilaian Penyelidikan Malaysia merupakan instrumen penilaian yang dibangunkan secara komprehensif untuk menilai keupayaan penyelidikan dan prestasi semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia.

Bagi sesi penilaian MyRA 1 dan 2 untuk pencapaian tahun 2017, UTM telah dinilai dalam tujuh kriteria iaitu Seksyen B (Kualiti dan Kuantiti Penyelidik), C (Kualiti dan Kuantiti Penyelidikan), D (Kualiti dan Kuantiti Pasca Siswazah), E (Inovasi), F (Perkhidmatan Profesional dan Hadiah), G (Jaringan dan Jangkauan) dan H (Kemudahan Sokongan).

Ketua Auditor , Prof. Che Hassan Che Harun berkata UTM telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam Seksyen D, F dan H serta mencapai tahap prestasi baik untuk seksyen B, C, E dan G manakala MyRA 2 pula mencatatkan tahap cemerlang bagi seksyen D, H dan prestasi baik bagi seksyen E, F dan G, dalam ucapan penutup beliau semasa sesi audit 15 Mei 2018.

“Secara umumnya panel penilai merumuskan data MyRA UTM berada dalam keadaan yang baik dan proses Audit Dalam yang dilaksanakan UTM amat membantu sesi penilaian tapak namun ianya perlu dipertingkatkan.

“Pemahaman terhadap kedua-dua glosari MyRA 1 dan 2 juga perlu sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Agenda Universiti Penyelidikan telahpun dimulakan sejak tahun 2004 oleh sekumpulan pakar akademik perintis yang diketuai oleh Prof. Muhammad Awang, hasil daripada The Third Outline Perspective Plan (2001-2010) oleh kerajaan persekutuan.

Dengan visi untuk meneroka idea baharu, mengambil pendekatan inovatif dan mengambil inisiatif untuk meluaskan sempadan ilmiah, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malayssia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi universiti-universiti yang pertama ditarafkan sebagai Universiti Penyelidikan (Research University).

Setelah melalui beberapa proses penilaian sejak tahun 2007, UTM berjaya mendapat anugerah Universiti Penyelidikan pada tahun 2010.

Sehingga kini, kumpulan Universiti Penyelidikan telah pun berjaya mendapat pengiktirafan global dari segi ranking mahupun dari segi jaringan yang dijalinkan bersama institusi-institusi yang tersohor.

Selain menjadi penanda aras dari sumbangan penyelidikan berilmiah dan ilmu pengetahuan yang baharu, Universiti Penyelidikan terus melahirkan graduan yang berkualti tinggi hasil daripada ekosistem penyelidikan yang berdaya saing.

Explore More