April 20, 2024

Search
Close this search box.

Kursus Pembelajaran Abad Ke-21 Universitas Ahmad Dahlan (UAD) di Fakulti Pendidikan UTM Mendapat Liputan Akhbar Di Indonesia

Johor Bahru – Rabu, 18 April 2018, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah  sekali lagi melakar sejarah apabila berjaya mengadakan program pengantarabangsaan dengan menerima kunjungan dari Universitas Ahmad Dahlan (UAD) Yogyakarta, Indonesia pada 7 April 2018 hingga 13 April 2018. Kunjungan ini diketuai oleh pensyarahnya iaitu Dr Moh Toifur Msi dan juga saudara Yudhiakto Pramudya dan seramai 15 orang pelajar pascasiswazah program Pendidikan Fizik telah menyertai program yang berlangsung selama seminggu ini.

Kunjungan ini adalah merupakan kunjungan kali kedua delegasi UAD yang juga dahulunya diketuai oleh Dr Moh Toifur Msi dan pelajarnya ke Fakulti Pendidikan UTM. Ternyata kunjungan seumpama ini telah menjalin hubungan dua hala antara institusi kejiranan ini terutamanya dalam usaha perkongsian dan peningkatan budaya ilmu.

Seperkara yang menarik, kunjungan pengantarabangsaan pada kali ini telah mendapat liputan dari sebuah akhbar di Indonesia iaitu akhbar Kedaulatan Rakyat yang membuat liputan mengenai kunjungan UAD dan Kursus Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21) yang dijalankan  selama seminggu di Fakulti Pendidikan UTM.

Pelbagai program dan bengkel telah diatur sepanjang seminggu keberadaan mereka di fakulti.  Program-program yang disediakan memberi penekanan kepada kursus-kursus yang berkaitan dengan Pembelajaran Abad ke-21 (PAK-21). Antara program menarik yang disediakan antaranya, bengkel asas Pembelajaran Abad ke-21, Bengkel Massive Open Online Courses (MOOCs), penggunaan aplikasi Google Apps dalam pendidikan, Bengkel Flipped Classroom, Gamifikasi dalam pembelajaran, Kursus Aplikasi Web 2.0 untuk Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc), Kursus Fotografi dan Video dan juga Bengkel Integrasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pada hari ketiga lawatan, delegasi UAD telah dibawa ke Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, Johor. Delegasi disambut oleh Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah iaitu Tn. Hj. Md. Yunan bin Abdul Majid. Seterusnya delegasi telah dibawa ke beberapa sekolah yang mengintegrasikan konsep pembelajaran Abad ke-21 iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Scientex Pasir Gudang dan Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4 untuk melihat sendiri kaedah PAK-21 yang dilaksanakan oleh guru di dalam kelas.

Pengarah program, Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin, mengharapkan kunjungan seperti ini dan hubungan silaturrahim yang terbina serta budaya perkongsian ilmu antara dua institusi ini berlanjutan dan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang.

 

 

Sisipan berita mengenai kunjungan UAD ke Fakulti Pendidikan UTM dari akhbar Kedaulatan Rakyat

 

Disediakan oleh: Dr Nurul Farhana Jumaat & Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

Explore More