April 27, 2024

Search
Close this search box.

SAMBUTAN HARI GURU ANJURAN FAKULTI PENDIDIKAN UTM DISAMBUT GILANG-GEMILANG

SAMBUTAN HARI GURU ANJURAN FAKULTI PENDIDIKAN UTM DISAMBUT GILANG-GEMILANG

 

Oleh: Dr Muhammad Abd Hadi Bunyamin

 

Johor Bahru – Isnin, 21 Mei 2018. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2018 bertempat di Dewan Alumni UTM pada 14 Mei 2018. Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti yang dijalankan untuk Bulan Pendidik 2018 yang berlangsung selama sebulan.

Dengan tema “Guru Pemacu Transformasi Pendidikan”, Sambutan Hari Guru 2018 ini mempunyai kelainan dengan yang sebelumnya kerana ia diurus secara bersama oleh para pelajar Fakulti Pendidikan (FP) UTM dengan para pensyarah FP. Dalam ucapan yang disampaikan oleh Pengarah Program, Dr Asha Hasnimy Mohd Hashim, beliau memberikan penghargaan besar kepada semua pihak, termasuklah pentadbir, pensyarah, dan pelajar FP atas dokongan dan sokongan penuh dalam menjayakan Sambutan Hari Guru 2018 ini.

Sebagai sebuah fakulti yang berteraskan bidang pendidikan, FP mengambil kira peranan yang dimainkan oleh para pensyarah dan pelajar FP dalam merencana agenda pendidikan Malaysia dan dunia yang lebih dinamik dan moden. Atas sebab itulah, program ini dilihat mampu membentuk modal insan yang berbakat tinggi dalam mengurus aktiviti yang memberi impak tinggi kepada pendidikan negara.

Sambutan Hari Guru 2018 ini tambah meriah dengan pelbagai persembahan yang dilakukan oleh para pelajar. Antaranya ialah persembahan “We are the Champion” dengan muzik dan pergerakan yang rancak, dikir barat yang membawa mesej pendidikan dan choral speaking.

Dalam ucapan oleh perasmi program, Yang Berbahagia Profesor Dr Muhammad Sukri Saud selaku Dekan Fakulti Pendidikan UTM, beliau berasa bangga dan terharu dengan sambutan yang amat baik oleh para pensyarah dan pelajar FP. Beliau percaya bahawa FP mampu melahirkan bakal-bakal guru yang berketerampilan tinggi dan mempunyai bakat besar dalam memimpin dan mengurus.

Kesimpulannya, Sambutan Hari Guru 2018 berjaya mencapai tujuannya iaitu menghargai peranan para pendidik dan bakal pendidik yang telah dan akan terus memacu agenda pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

Gambar Sambutan Hari Guru

Explore More