April 19, 2024

Search
Close this search box.

Pow Mei dan Nurfariha meriahkan pameran UTM Global Talent

JOHOR BAHRU – Kehadiran dua bintang bola jaring kebangsaan Pow Mei Foong dan Nurfariha Abdul Razak  berjaya mewarnai Pameran UTM Global Talent yang diadakan di Ruang Legar Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim UTM Johor Bahru sempena Majlis Konvokesyen ke-60 UTM baru-baru ini.

Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofia, Permaisuri Johor beramah mesra bersama Pow Mei Foong dan Nurfariha di Pameran UTM Global Talent.

Pameran yang diserikan dengan lawatan oleh Canselor UTM, DYMM Raja Zarith Sofia bt Almarhum Sultan Idris Shah, Permaisuri Johor itu juga menampilkan beberapa lagi mahasiswa UTM yang berjaya mengharumkan nama negara dan UTM khasnya, di peringkat tertinggi.

Antara mahasiswa lain yang tampil memeriahkan lagi pameran yang mengenengahkan pencapaian pelajar UTM tersebut ialah pendaki Everest, Farul Aidib; atlet judo negara, Nik Norlydiawati; dan pasukan Robocon UTM yang baru sahaja menjuarai Robocon Malaysia di UNITEN pada 22 April 2018 lalu.

Melalui pameran berkenaan, semua graduan UTM, ibu bapa dan pengunjung berpeluang berinteraksi dan bergambar bersama semua ikon pelajar terlibat.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata objektif utama pameran ini adalah berkongsi kisah kejayaan pelajar UTM bersama graduan, ibu bapa dan semua pengunjung yang hadir dalam Majlis Konvokesyen UTM.

Lebih penting lagi para pelajar terlibat ada di samping poster yang memaparkan kejayaan masing-masing untuk melayani pengunjung.

“Saya berharap program seumpama ini juga mampu memberi inspirasi kepada generasi baru UTM mencipta pencapaian yang lebih gemilang,” tambah beliau.

Farul Aidib Mahamad Yusof yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia Everest pada tahun 2016 bersama Azim Afif Ishak berpendapat, pameran ini memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi detik-detik pejalanan berliku serta suka duka perjuangan mereka menuju puncak Everest.

“Saya juga amat berterima kasih kepada UTM kerana memberi ruang kepada saya berdiri sebaris dengan ikon-ikon pelajar hebat UTM.

“Pameran ini sangat bermakna untuk memotivasikan pelajar lain terus mengejar kejayaan.” katanya lagi.

Bagi tahun 2018, UTM komited untuk memantapkan pengalaman pendidikan tinggi mahasiswa di kampus dan pendedahan pelajar kepada program peringkat antarabangsa dalam usaha melahirkan pelajar bersifat ‘global talent’ serta menghasilkan mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama, holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

 

 

JKK Pameran Konvokesyen ke-60 UTM
Galeria Siswa HEP
Mei 2018

Explore More