April 20, 2024

Search
Close this search box.

Pakar UTM dapat pengiktirafan SEDA

 JOHOR BAHRU, 19 April 2018 – Kepakaran penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang waste to energy terus mendapat kepercayaan pihak berkuasa di negara ini.

 Profesor Dr Mohd Rozainee Taib menunjukkan sijil penghargaan  yang diterima daripada SEDA pada simposium ISES 2018.

Kepakaran mereka dalam menentusahkan kerja-kerja Acceptance Test & Performance Assessment (AT&PA) bagi pepasangan sistem biojisim dan biogas bermula semenjak UTM menandatangani MOU bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada tahun 2015.

Sehingga ke hari ini kumpulan pakar dari UTM telah berjaya menjalankan kerja-kerja ATPA ke atas 7 loji biogas di seluruh Malaysia.

Kejayaan ini membolehkan UTM mendapat lanjutan kontrak daripada SEDA Malaysia sehingga 28 Februari 2019.

Kepakaran UTM terdiri daripada Profesor Dr Mohd Rozainee Taib,  Prof Madya Dr. Haslenda Hashim dan Dr Nor Alafiza Yunus dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Tenaga (FKT), UTM.

Menurut ketua projek, Profesor Dr Mohd Rozainee Taib iaitu Pengarah Makmal Pemprosesan Suhu Tinggi yang memiliki kepakaran dalam bidang waste to energy, “FIT adalah polisi yang dirangka oleh kerajaan melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang membolehkan tenaga elektrik yang dihasilkan daripada sumber tenaga baharu boleh dijual kepada syarikat utiliti kuasa pada kadar harga yang ditetapkan.

Oleh itu, semasa kerja-kerja ATPA adalah menjadi tanggunjawab kami untuk membuat pemeriksaan di loji biogas bagi menentukan pusat berkenaan memenuhi syarat yang ditetapkan dari segi komposisi biogas,  kecekapan elektrik & reliability run sebelum permohonan faedah FIT dari kerajaan diluluskan oleh SEDA Malaysia.

Profesor Dr Mohd Rozainee adalah antara ramai tenaga pakar UTM yang komited menyumbang khidmat dan kepakaran kepada negara.

Profesor Dr Mohd Rozainee mula berkhidmat sebagai pensyarah di UTM pada Mac 1989.  Beliau memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan kimia dari Universiti Alabama, Amerika Syarikat, sarjana kawalan pencemaran dari Universiti Leeds dan Phd dalam bidang waste to energy dari Universiti Sheffiled, United Kingdom.

Beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada Jawatankuasa Teknologi Pengurusan Sisa Sampah, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) semenjak tahun 2000.

Sepanjang berkhidmat di UTM, beliau berjaya mendapatkan dana daripada pihak kerajaan untuk membina Makmal Pemprosesan Suhu Tinggi bagi menjalankan pelbagai kajian dan mengeluarkan lebih ramai tenaga pakar.

Pada simposium “4th International Sustainable Energy Summit 2018”, SEDA telah menganugerahkan sijil penghargaan kepada beliau bagi menghargai peranan UTM sebagai rakan teknologi SEDA dalam melaksanakan aspirasi tenaga boleh diperbaharui negara.

Sesungguhnya, lanjutan kontrak dan penganugerahan sijil itu membuktikan bahawa SEDA dan KeTTHA mengiktiraf kepakaran yang dimiliki oleh tenaga penyelidik dari UTM.

 

TAMAT

 

Explore More