April 20, 2024

Search
Close this search box.

KUNJUNGAN PAKAR ANTARABANGSA BIDANG MEMBRAN PENYULINGAN DARI UNIVERSITY COMPLUTENSE OF MADRID, SPAIN DAN UNIVERSITY OF JORDAN KE AMTEC UTM

UTM SKUDAI, 18 APRIL 2018 – Advanced Membrane Technology Research Centre (AMTEC) telah menerima kunjungan dua profesor terkemuka antarabangsa dalam bidang membran penyulingan iaitu Prof. Mohamed Khayet Souhaimi dari University of Complutense of Madrid, Sepanyol dan Prof. Madya Dr. Mohammed Rasool Qtaishat dari University of Jordan.

Prof. Madya Dr. Rasool Qtaishat, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Prof. Emeritus Dr. Takeshi Matsuura sedang berbincang mengenai jaringan kerjasama antara dua universiti

 

Prof. M. Khayet merupakan seorang penyelidik terkenal di dalam bidang sains dan teknologi membran (reka bentuk membran dan fabrikasi, proses membran termasuk turasan-nano, teknologi terbaru) dan rawatan air (penyahgaraman, rawatan air sisa, dan sebagainya) dari Madrid Institute of Advanced Studies atau lebih dikenali sebagai IMDEA. Beliau aktif dalam menghasilkan buku dan artikel yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi. Setakat ini, beliau telah menghasilkan lebih 160 penerbitan dengan jumlah sitasi sebanyak 6907 dengan H-index sebanyak 49. Sumbangan beliau dalam bidang membran penyulingan adalah sangat besar sehingga beliau dianugerahkan “Prince Sultan Bin Abdulaziz International Prize for Water” (PSIPW, edisi ke-5, 2012) mengenai Sumber Air Alternatif (Arab Saudi) untuk kerja-kerja noble dan kreatifnya dalam teknologi membran penyulingan (MD) yang dipromosikan dalam semua aspek teori dan eksperimentalnya (dari sintesis membran ke pelaksanaan). Kedatangan beliau ke pusat penyelidikan AMTEC amat dihargai dan merupakan satu tanda penghormatan kepada AMTEC dan juga UTM.

Profesor pelawat menikmati makan tengahari bersama Pengurusan tertinggi AMTEC dan Prof. Matsuura

 

Prof. Madya Dr. Rasool Qtaishat pula merupakan penyelidik terkemuka dalam bidang membran penyulingan. Prof Madya Dr Qtaishat telah menghasilkan 16 artikel dalam jurnal berimpak tinggi dengan 673 sitasi seterusnya menyumbang kepada H-index beliau sebanyak 16. Selain itu juga beliau telah memperoleh US PATENT dari dua produk beliau iaitu “Techniques for preparing multi-layer polymeric and mixed matrix membranes and a device for membrane distillation” dan “Novel Techniques For Preparing Multi-Layer Polymeric And Mixed Matrix Membranes And A Device For Membrane Distillation”. Beliau juga telah berjaya menarik minat syarikat terkemuka dari Arab Saudi untuk mengkomersilkan produk hasil penyelidikan beliau. Beliau juga sempat berkongsi hasil penyelidikan beliau bersama penyelidik dan pelajar-pelajar di AMTEC semasa berada di AMTEC. Lawatan rasmi oleh kedua-dua pakar membran selama dua hari ini amat bermanfaat dalam membina jaringan kerjasama dengan UTM amnya dan AMTEC khususnya di samping berkongsi idea dan perkembangan penyelidikan terkini yang sedang dijalankan oleh kumpulan penyelidikan yang terkemuka di luar negara.

Penyampaian cenderamata oleh Prof. Madya Dr. Juhana Jaafar, Timb. Pengarah II kepada Prof Qtaishat kerana sudi hadir dan berkongsi ilmu kepada staf dan pelajar AMTEC.

 

Dilaporkan oleh:

Norafiqah Ismail

AMTEC UTM

Explore More