JOHOR BAHRU, 25 April 2018 – Festival Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (FESKO’60) ditampilkan dengan program yang lebih seimbang antara hiburan dan pembangunan sahsiah insan. FESKO’ 60 adalah antara festival terbesar yang pernah dianjurkan oleh mahasiswa “5 Excellent Track Programme” (5ETP) yang diketuai oleh Muhammad Nur Imran Abdul Rashid dengan bimbingan Penasihat Program di Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Pelajar dilatih untuk mencari penajaan dan menjana punca kewangan sendiri bagi memulakan gerak kerja awal sehingga ke akhirnya tanpa bergantung kepada peruntukan kewangan universiti.
“Secara keseluruhannya, perancangan awal telah dilakukan dengan teliti oleh jawatankuasa perlaksana dan ianya mengambil tempoh selama lima bulan bagi menjayakan festival ini,” kata Muhammad Nur Imran.
Antara aktiviti menarik yang bakal berlangsung di sepanjang penganjuran program berkenaan adalah pertandingan silat, ‘inspire talk’, derma darah, petanque, Thai Food Festival, pertandingan mewarna, memancing dan lain-lain.
Penganjuran FESKO’ 60 bermatlamat memperkasa bakat mahasiswa dalam merencana dan melaksanakan program berimpak tinggi serta berskala besar dengan perancangan yang sistematik, berinovasi dan berteknologi.
“Penjenamaan semula dan transformasi Festival Konvokesyen UTM kali ke-60 adalah terhadap intellectual, inspiring dan interactive.”
“Ketiga-tiga elemen ini adalah tema bagi FESKO’60 yang berkonsepkan mahasiswa minda kelas pertama dari segi intelektual serta dapat menjadi contoh dan inspirasi tambahan di samping mempunyai aura tersendiri dalam berinteraksi,” katanya.
Muhammad Nur Imran berkata, tema berkenaan diketengahkan agar warga universiti dan sekitarnya dapat mencorakkan diri dengan mempertingkatkan ilmu pengetahuan menerusi aktiviti-aktiviti sepanjang festival ini dijalankan.
Majlis pelancaran FESKO’60 telah berlangsung di Dataran UTM dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus.
Program 5ETP bertujuan melahirkan graduan yang cemerlang melalui perkembangan bakat, kemahiran, minat dan kreativiti untuk mencapai tahap antarabangsa.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, 5ETP menggariskan lima jejak utama iaitu Kepimpinan Global, Teknousahawan, Minda Nobel, Kecemerlangan Sukan dan juga Teknohafiz.