April 21, 2024

Search
Close this search box.

118 mahasiswa sertai MABIOS 2018

JOHOR BAHRU, 25 Februari 2018 – Seramai 118 orang mahasiswa daripada lima universiti terkemuka Malaysia telah menyertai Seminar Malaysia Bioinformatics Students Conference atau MABIOS 2018 anjuran 5 Program Trek Kecemerlangan (5 ETP) Teras Kepimpinan Global Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Datuk Abu Bakar memukul gong tanda penutupan Program MABIOS 2018 sambil diperhatikan oleh Prof. Durrishah (dua dari kanan) dan Prof. Abdul Samad (dua dari  kiri) di Dewan Jamuan, UTM Skudai.

Seminar itu telah disempurnakan majlis penutupannya oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Dr. Abu Bakar Mohd. Diah di Dewan Jamuan, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru.

Pengarah Program, Yap Sin Yee berkata, program yang bermula pada 24 Februari 2018 itu bermatlamat menyediakan platform kepada mahasiswa dan pengamal jurusan bioinformatik bagi bertukar pandangan, kepakaran, hasil penyelidikan serta masa depan bidang ini di Malaysia.

“MABIOS 2018  adalah persidangan bioinformatik pertama pernah dianjurkan oleh 5 ETP UTM dengan kerjasama Fakulti Komputeran.

“Untuk acara ini, kami telah menerima seramai 118 penyertaan daripada lima universiti terkemuka Malaysia iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Multimedia Malaysia (MMU) dan Management and Science University (MSU),” katanya.

Menurutnya, acara dua hari tersebut dipenuhi dengan aktiviti seperti sesi ‘ice-breaking’ di kalangan peserta, ucapan dari para penyelidik, pakar bioinformatik dan juga wakil industri yang hadir.

“Pihak penganjur berharap program ini akan menjadi platform terbaik kepada pelajar daripada universiti yang berlainan untuk saling mengenali dan seterusnya menjalinkan kerjasama di masa akan datang,” katanya lagi.

Turut menghadiri acara penutupan program adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus dan Dekan Fakulti Komputeran, Prof. Dr. Abdul Samad Ismail.

 

Explore More