JOHOR BAHRU, 19 April 2018 – Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Dr Yeong Che Fai membuktikan produk penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik dari universiti tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
Dalam usaha menyahut seruan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengkomersialkan produk penyelidik, Dr Yeong dan dua bekas pelajarnya menubuhkan syarikat DF Automation & Robotics Sdn Bhd (DF).
Menerusi bantuan Ricky Yap Wee Yang dan Tan Ping Hua, syarikat yang beroperasi di Taman Impian Emas, Skudai itu menghasilkan robot untuk kegunaan industri bagi pengangkut barang (Automated Guided Vehicle (AGV)) yang dikenali dengan jenama ZALPHA.
“Robot industri ini boleh bergerak ke lokasi yang ditetapkan mengikut garisan magnetik yang dipasang pada lantai dan amat sesuai digunakan dalam industri pembuatan, tekstil, otomotif, makanan, pergudangan dan pengoperasian hospital.
“Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, lebih 200 unit AGV telah dikeluarkan dan berjaya menembusi pasaran di Singapura, Thailand, India, Mexico, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya Dr Yeong yang juga Pengerusi DF.
Robot yang dikeluarkan oleh DF dilengkapi dengan teknologi terkini, rekabentuk yang fleksibel, mudah diselenggarakan dan dikuasakan oleh perisian NavWiz yang mudah digunakan dan sesuai dengan keupayaan Industri 4.0.
DF telah memenangi beberapa anugerah termasuk dari Frost & Sullivan Award dan Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA).
Produk yang dibangunkan adalah hasil penyelidikan pakar dari Malaysia dan menggunakan teknologi tempatan manakala harga yang tawarkan adalah amat berpatutan sesuai dengan spesifikasi robot yang dibekalkan.
“Fungsi robot yang kami keluarkan adalah pelbagai dan boleh diubah mengikut keperluan pelanggan.
Kami juga menyediakan khidmat selepas jualan dan pembaikan bagi mengekalkan kualiti produk di mata para pelanggan,” katanya.
Usaha yang dijalankan oleh DF selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada lepasan universiti agar tidak lagi bergantung kepada kerajaan.
Selain menyediakan peluang pekerjaan, syarikat berkenaan juga menjadi tempat untuk pelajar universiti, khususnya UTM menimba pengalaman bekerja di industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.
Sehingga kini, sebanyak 70 peratus tenaga kerja di syarikat berkenaan adalah lepasan UTM dan langkah berkenaan adalah merupakan satu pengiktirafan terhadap mutu pendidikan UTM, terutama dalam bidang teknologi robotik.
Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan syarikat ini, boleh layari www.dfautomation.com.