April 24, 2024

Search
Close this search box.

Produk pensyarah UTM tembusi pasaran antarabangsa

JOHOR BAHRU, 19 April 2018 – Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Dr Yeong Che Fai membuktikan produk penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik dari universiti tempatan berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Beberapa model AGV yang dihasilkan oleh DF Automation & Robotics Sdn Bhd.

Dalam usaha menyahut seruan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk mengkomersialkan produk penyelidik, Dr Yeong dan dua bekas pelajarnya menubuhkan syarikat DF Automation & Robotics Sdn Bhd (DF).

Dr Yeong Chee Fai di pejabatnya.

Menerusi bantuan Ricky Yap Wee Yang dan Tan Ping Hua, syarikat yang beroperasi di Taman Impian Emas, Skudai itu menghasilkan robot untuk kegunaan industri bagi pengangkut barang (Automated Guided Vehicle (AGV)) yang dikenali dengan jenama ZALPHA.

“Robot industri ini boleh bergerak ke lokasi yang ditetapkan mengikut garisan magnetik yang dipasang pada lantai dan amat  sesuai digunakan dalam industri pembuatan, tekstil, otomotif, makanan, pergudangan dan pengoperasian hospital.

Bangunan DF Automation Sdn Bhd di Taman Impian Emas, Johor Bahru.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2012, lebih 200 unit AGV telah dikeluarkan dan berjaya menembusi pasaran di Singapura, Thailand, India, Mexico, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya Dr Yeong yang juga Pengerusi DF.

Robot yang dikeluarkan oleh DF dilengkapi dengan teknologi terkini, rekabentuk yang fleksibel, mudah diselenggarakan dan dikuasakan oleh perisian NavWiz yang mudah digunakan dan sesuai dengan keupayaan Industri 4.0.

DF telah memenangi beberapa anugerah termasuk dari Frost & Sullivan Award dan Asia Pacific ICT Alliance Awards (APICTA).

Pekerja bahagian kejuruteraan memasang robot yang dipesan oleh pelanggan.

Produk yang dibangunkan adalah hasil penyelidikan pakar dari Malaysia dan menggunakan teknologi tempatan manakala harga yang tawarkan adalah amat berpatutan sesuai dengan spesifikasi robot yang dibekalkan.

“Fungsi robot yang kami keluarkan adalah pelbagai dan boleh diubah mengikut keperluan pelanggan.

Kakitangan bahagian teknologi maklumat mengaturcara sistem komputer sebelum diserahkan kepada bahagian kejuruteraan untuk dipasang dalam badan robot.

Kami juga menyediakan khidmat selepas jualan  dan pembaikan bagi mengekalkan kualiti produk di mata para pelanggan,” katanya.

Usaha yang dijalankan oleh DF selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan baharu kepada lepasan universiti agar tidak lagi bergantung kepada kerajaan.

Selain menyediakan peluang pekerjaan, syarikat berkenaan juga menjadi tempat untuk pelajar universiti, khususnya UTM menimba pengalaman bekerja di industri sebelum melangkah ke alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian.

Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi menjadi tulang belakang DF Automation & Robotics Sdn Bhd.

Sehingga kini, sebanyak 70 peratus tenaga kerja di syarikat berkenaan adalah lepasan UTM dan langkah berkenaan adalah merupakan satu pengiktirafan terhadap mutu pendidikan UTM, terutama dalam bidang teknologi robotik.

Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan syarikat ini, boleh layari www.dfautomation.com.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Explore More