November 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM dilantik pusat pembayar projek Program PILS™KPT-BOS

JOHOR BAHRU, 26 Mac 2018 –  Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Perlis (UMP) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dilantik sebagai pusat pembayar projek Program PILS™KPT-BOS, manakala Institut Sultan Iskandar (ISI) UTM dilantik sebagai sekretariat pengurusan kontrak dan akademik.

Program PILS™KPT-BOS adalah salah satu program pengembangan dua Politeknik dan sembilan Kolej Komuniti Cawangan di bawah operasi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS – National Blue Ocean Strategy) di bawah panji mercu Kementerian Pendidikan Tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, konsep Program PILS™KPT-BOS bukan sekadar diwujudkan untuk pengembangan politeknik dan kolej komuniti cawangan tetapi menyediakan ruang integrasi dan kolaborasi antara pelajar dan pensyarah dari pelbagai bidang dan merentasi universiti dalam negeri seperti mana yang berlaku dalam beberapa sektor bukan akademik dan kebudayaan.

“Bagi menjayakan hasrat ini maka ICONLAB (Integrated Consultancy Laboratory) dibangunkan. Program ICONLAB di bawah PILS™KPT-BOS mewujudkan platform dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang mencabar bersandarkan kepada cabaran realiti bagi tujuan memberikan pendedahan langsung kepada staf akademik dan siswa menerusi pendekatan perundingan bersepadu yang berkaitan dengan industri pembinaan,” katanya semasa merasmikan pembukaan Kolej Komuniti cawangan Gelang Patah, dekat sini hari ini.

Kolej Komuniti Cawangan Gelang Patah adalah salah sebuah Kolej Komuniti Cawangan di bawah Program PILS™KPT-BOS.

Selain itu, Politeknik dan Kolej Komuniti Cawangan yang turut disertai di bawah program berkenaan termasuk Politeknik Besut di Terengganu, Politeknik Bagan Datuk di Perak, Kolej Komuniti Cawangan Maran, Pahang; Kolej Komuniti Cawangan Tanah Merah, Kelantan; Kolej Komuniti Cawangan Kangar,Perlis; Kolej Komuniti Cawangan Jerlun,Kedah; Kolej Komuniti Cawangan Lenggong, Perak; Kolej Komuniti Cawangan Hulu Terengganu dan Kolej Komuniti Cawangan Kuala Nerus di Terengganu; serta Kolej Komuniti Cawangan Sibu, Sarawak.

“Jumlah keseluruhan peruntukan bagi kerja-kerja ubahsuai, bekalan serta sewaan premis bagi projek pengembangan politeknik dan kolej komuniti cawangan adalah RM17.5 juta di mana RM2.0 juta bagi setiap politeknik manakala RM1.5 juta bagi setiap kolej komuniti cawangan,” katanya.

Explore More