Disember 21, 2024

PSSCUTM juara Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Johor 2018

JOHOR BAHRU, 27 Februari 2018 – Persatuan Seni Silat Cekak Universiti Teknologi Malaysia (PSSCUTM) telah beroleh momentum terbaik apabila berjaya dinobatkan sebagai juara keseluruhan IPT dalam Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi Negeri Johor 2018 bertempat di UniKL (MITEC), Pasir Gudang pada 24 Februari 2018 yang lalu.

Ahli Skuad PSSCUTM bersama Tenaga Pengajar selepas dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan IPT.

Skuad PSSCUTM telah berjaya membawa pulang sembilan pingat emas, dua perak dan satu gangsa dalam hampir seluruh kategori yang ditandingi.

Piala Pusingan dan Piala Iringan IPT Kejohanan Wajadiri Johor telah diserahkan kepada Presiden Persatuan Seni Silat Cekak UTM.

Menerusi kekuatan ahli seramai 44 orang yang semuanya terdiri daripada pelajar UTM dalam pelbagai jurusan, PSSCUTM telah mengekalkan status juara dalam Kejohanan Wajadiri Peringkat Johor kali ini.

Selain itu, saudari Nur Idayu Alimon, pelajar PhD dari Fakulti Sains (Matematik), UTM turut memenangi Anugerah Pesilat Terbaik Wanita.

Ini membuktikan bahawa penglibatan secara aktif di luar bidang akademik tidak menjadi satu penghalang untuk berjaya.

Kejohanan Wajadiri itu juga merupakan satu langkah untuk menyelaraskan hasrat kerajaan dalam membudayakan seni budaya asli bangsa Melayu terutamanya dalam ilmu mempertahankan diri disamping dapat menerapkan nilai-nilai positif kepada belia seperti semangat nasionalisme, semangat kerjasama dan berpasukan serta dapat juga mendisiplinkan diri.

Explore More