April 18, 2024

Search
Close this search box.

Penyelidik UTM hasil baja daripada sisa gunung berapi

JOHOR BAHRU, 14 Februari 2018 – Sekumpulan penyelidik dari Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menghasilkan baja guna semula daripada sisa gunung berapi.

Dr. Nik Ahmad Nizam menunjukkan baja dalam bentuk uncang.

Ketua penyelidik Dr. Nik Ahmad Nizam berkata, produk yang dinamakan sebagai ‘Re-Generated NPK Fertilizer as Recycled Repeated Controlled Released Fertilizer’ itu dihasilkan daripada bahan mineral gunung berapi dan bersifat boleh guna semula serta mesra alam sekitar.

“Baja ini didatangkan dalam dua bentuk iaitu serbuk dan satu lagi yang telah diisi di dalam uncang.

Baja dalam bentuk serbuk.

“Baja dalam uncang boleh digunakan lebih dari sekali kerana ianya tidak larutlesap sepertimana baja biasa yang boleh menyebabkan pencemaran tanah pertanian.

“Uncang ini boleh dikutip semula dalam tempoh tiga hingga enam bulan dan dibawa ke makmal untuk diisi semula dengan zat Nitrogen, Fosforus dan Kalium (NPK) yang amat diperlukan oleh tumbuhan untuk proses pembesaran,” katanya.

Beliau berkata, baja dalam uncang tidak akan larutlesap ke dalam tanah serta dibawa mengalir keluar dari petak tanaman oleh air hujan atau siraman.

“Ini dapat menjimatkan kerana tanaman sempat ‘mengambil’ zat secukupnya daripada baja yang diberikan sebelum uncang diambil untuk proses pengisian semula zat di makmal.

“Penggunaan baja ini selain mengurangkan pencemaran alam sekitar, juga dapat meningkatkan produktiviti pertanian negara sekiranya digunakan secara besar-besaran melalui potongan kos pembelian baja oleh petani,” katanya.

Bercakap mengenai kerjasama dengan industri, Dr. Nik Ahmad Nizam berkata, beliau akan berusaha untuk memasarkan produk yang dibangunkannya dengan sasaran ditujukan kepada organisasi besar kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan juga Jabatan Pertanian bagi mengembangkan penggunaan baja berkenaan.

Explore More