Disember 22, 2024

Penyelidik UTM bangunkan perisian pengurusan kesesakan bangunan

JOHOR BAHRU,  8 Mac 2018 –  Sekumpulan penyelidik Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang diketuai oleh Prof Madya Dr Hazlina Selamat dan dibantu oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Nurulaqilla Khamis berjaya menghasilkan perisian komputer yang boleh menganalisis serta menguruskan kesesakan dalam bangunan secara sistematik.

Dr Hazlina menunjukkan bahagian kiri skrin adalah pelan asal yang dilukis arkitek menggunakan Autocad manakala kanan skrin pula memaparkan pelan simulasi 3D oleh SESAK untuk analisa pengurusan kesesakan dalam bangunan.

Perisian yang dinamakan sebagai SESAK : A Crowd Monitoring and Simulation System with Space Design Tool adalah perisian komputer yang berkeupayaan untuk menganalisa dan melakukan simulasi bagi menguruskan kesesakan secara sistematik.

“Melalui penggunaan SESAK, kita boleh menganalisa mengenai cara menguruskan kesesakan dalam bangunan secara lebih sistematik menerusi susunan perabot dan pintu keluar yang strategik dalam sesebuah bangunan bagi memberikan ruang kepada penghuni untuk bergerak dengan lebih selamat,” katanya.

Menurutnya lagi, perisian itu dapat berfungsi dengan cara pengguna mendapatkan pelan lantai asal dari arkitek bangunan yang dilukis secara digital melalui perisian Autocad sebelum boleh dianalisa.

“Secara kasarnya, pengguna boleh melihat bagaimana perisian ini melakukan proses simulasi dengan pelan asal di sebelah kiri dan simulasi 3D yang diproses daripada pelan yang asal di sebelah kanan dengan gambar kesesakan orang ramai yang bergerak dalam setiap ruangan yang dilukis.

“Di sinilah proses analisa dan perancangan dijalankan dengan menentukan susunan perabut dan pintu keluar yang lebih sistematik,” katanya.

Prof Hazlina berkata, selain melakukan proses analisa pelan lantai untuk pengurusan kesesakan, SESAK juga sesuai digunakan untuk kerja-kerja merancang bandar oleh Perancang Bandar bagi menghasilkan perbandaran baharu yang lebih lestari dan sistematik.

“Perisian ini juga amat sesuai dan bertepatan untuk digunakan dalam bidang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) bagi merangka pelan susunatur dalam bangunan yang selamat,” katanya.

 

 

 

 

Explore More